Malaysia Tampil Dengan Busana Klasik Tradisional Untuk Pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024
GAYA HIDUPKontinjen negara akan menggayakan baju kurung songket dengan kelubung untuk atlet wanita dan atlet lelaki berbaju Melayu Teluk Belanga sentuhan pereka duo, Rizman Ruzaini pada pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris yang dijadualkan esok.
Pengumuman persalinan rona hijau zaitun itu dikonsgi oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli di Facebook, hari ini.
"Mempersembahkan 'The Malaya', pakaian rasmi kontinjen Malaysia pada majlis perasmian Sukan Olimpik Paris 2024 rekaan Rizman Ruzaini," katanya pada keterangan gambar.
Busana yang mendapat sentuhan pereka fesyen terkenal, itu bertemakan 'Manis dan Sopan' dengan atlet wanita akan menggayakan busana tradisional kerubung yang sinonim dengan wanita Malaya dan digandingkan bersama baju Melayu Teluk Belanga untuk atlet lelaki sebagai junjungan kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
Menurut dua pereka itu, koleksi The Malaya yang berona hijau zaitun tanda dedikasi dan aspirasi Rizman Ruzaini buat perwira negara seperti Datuk Maharaja Lela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut , Dato' Bahaman, Mat Kilau dan Tuanku Abdul Rahman.
"Kami memilih skim warna hijau zaitun dengan motif keemasan kerana warna ini memberi aura klasik dan di bawah pantulan cahaya, ia memancarkan kilauan keemasan.
"Kilauan keemasan itu simbolik harapan kepada atlet kita membawa pulang pingat emas untuk negara.
"Rekaan itu juga seperti melihat sebutir berlian yang digilap berkilau dan diikat dengan emas yang dijadikan cincin di jari. Sungguh cantik, sangat sempurna," katanya.
Dengan sosok tubuh tegap atlet, kedua-dua pereka ini berkata ia memberikan kesempurnaan serta menyerlahkan sisi sopan dan klasik pemakainya.
"Rekaan yang menyerlahkan gaya pemakai sopan dan klasik ini, akan membuatkan ramai terpaku.
"Kami yakin transformasi yang akan menjadi kenangan manis untuk kami juga sebagai pereka busana untuk atlet kebanggaan negara," katanya.
Katanya, dengan meletakkan songket sebagai motif utama, ia meletakkan kedudukan atlet di tempat yang tinggi tanda penghargaan perjuangan mereka membawa pulang pingat kemenangan.
"Jadi kami ketengahkan cetakan motif songket di tengah busana sebagai pengiktirafan kami buat mereka.
"Ia kerana songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik, warisan agung turun temurun.
"Kehalusan tenunan dan kerumitan motif songket memaparkan kedudukan dan pangkat golongan bangsawan," kata mereka lagi.
Di samping itu, menurut pereka duo ini, rekaan skaf pula mengetengahkan ciri yang mewakili semangat patriotik mereka sebagai rakyat Malaysia.
"Motif pada skaf ini menonjolkan nukilan khas tentang Malaysia. Ia dapat dilihat menerusi tarikh kemerdekaan, hari kebangsaan, tekad perpaduan yang memenuhi harapan negaraku Malaysia dan kemerdekaan negara.
Kedua-dua pereka fesyen ini menginspirasi rekaan busana persalinan baju kurung bercorak songket dengan kelubung untuk wanita serta baju Melayu Teluk Belanga untuk lelaki.
Rizman Ruzaini dijemput oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Januari lalu untuk menyertai Malam Olimpik 2024 yang diadakan di Kuala Lumpur, iaitu pereka tempatan ini diberi peluang untuk mempamerkan visi mereka tentang pakaian yang akan dipakai oleh atlet Malaysia pada majlis pembukaan Sukan Olimpik ke-33 di Paris.
Sejak dari itu, mereka bekerja keras untuk menghasilkan pakaian tradisional membentuk 'The Malaya' visi yang diterjemah kepada apa dilihat hari ini dan disaksikan dunia pada pembukaan esok.
Sumber: BeritaHarian