Meninggal Selepas Cabut 2 Batang Gigi, Ini Risiko Anda Perlu Tahu Sebelum Cabut Gigi Bongsu
GAYA HIDUPMenurut perkongsian pengamal perubatan pergigian, Dr. Mohd Khairul Izwan, risiko komplikasi yang bahaya akan 'menanti' sekiranya seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi pada waktu tersebut.
Antara komplikasi yang boleh terjadi akibat daripada cabutan gigi dalam keadaan tekanan darah yang tinggi adalah:
1- Risiko pendarahan yang banyak dan tidak berhenti di kawasan cabutan gigi.
Keadaan ini sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan seseorang mengalami kehilangan banyak darah yang banyak dan akhirnya boleh menjurus kepada kematian jika rawatan susulan tidak diberikan.
2- Risiko serangan jantung.
Tekanan darah yang terlalu tinggi boleh menyebabkan terjadinya serangan jantung di mana jantung boleh berhenti secara tiba-tiba.
Keadaan ini adalah sangat berbahaya kerana degupan jantung yang terhenti boleh mengancam nyawa pesakit disebabkan aliran darah ke seluruh badan termasuk organ-organ penting terhenti.
3- Risiko serangan angin ahmar ataupun 'stroke' akibat pecahnya saluran darah di bahagian otak kerana tekanan darah yang terlalu tinggi.
Salur darah yang pecah boleh menyebabkan aliran darah ke otak mengalami gangguan atau terhenti. Keadaan ini boleh mengakibatkan sel otak mati dan mendedahkan pesakit kepada risiko terjadinya lumpuh anggota badan.
Mengambil bacaan tekanan darah sebelum rawatan cabutan gigi adalah prosedur operasi standard (SOP) bagi hampir keseluruhan klinik pergigian untuk memastikan tekanan darah pesakit berada pada tahap yang optimum.
Ini penting bagi mengelakkan risiko-risiko yang disebutkan di atas daripada berlaku.
Bacaan tekanan darah yang normal adalah 120/80 mmHg.
Temui ajal selepas cabut dua batang gigi
Menyedihkan kisah pemuda di China yang meninggal dunia akibat pendarahan intrakranial (dalam otak) selepas mencabut dua giginya.
Oddity Central melaporkan, Wang, 23, dari Wilayah Hunan ke Hospital Rakyat Kuiyong di Shenzhen untuk mendapatkan rawatan akibat sakit gigi.
Selepas memeriksa giginya, doktor memutuskan untuk mencabut dua giginya dan Wang bersetuju.
Berikutan prosedur itu, Wang diminta untuk melakukan ujian X-ray tetapi ketika bangun daripada kerusi, dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan jatuh.
Wang kemudiannya dipindahkan ke hospital untuk rawatan kecemasan dan doktor mendapati dia mengalami pendarahan intrakranial selepas mencabut dua giginya.
Lelaki muda itu menjalani pembedahan kraniotomi (pembedahan membuka sebahagian dari tempurung kepala untuk melihat otak) kecemasan.
Tetapi, lelaki itu kekal koma berikutan prosedur rumit sebelum meninggal dunia 14 hari kemudian, akibat kegagalan beberapa organ. - Harian Metro