Naik Lagi? Kadar OPR Dijangka Naik Sebanyak Dua Kali Pada 2023

GAYA HIDUP
December 30, 2022 - 10:12 PM


CGS-CIMB Research (CGS-CIMB) menjangkakan kenaikan dua kali kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus pada sekarang berikutan tekanan inflasi yang dijangka akan kekal pada tahun 2023.

Berdasarkan laporan Astro Awani, Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus berkata, pertumbuhan inflasi teras yang kukuh pada November lalu telah mencerminkan keadaan permintaan domestik yang mantap pada bulan tersebut.

“Jangkaan ini merupakan tanda sokongan kitaran normalisasi kadar berterusan oleh BNM.

“Berdasarkan kenyataan pada bulan lalu, bank pusat memberikan amaran jelas bahawa tekanan inflasi berkemungkinan kekal pada 2023,” katanya menerusi satu catatan nota penyelidikan pada hari ini.

Menurut Nazmi lagi, campur tangan kerajaan terhadap beberapa harga barangan kawalan seperti ayam, petrol dan bayaran tol telah dapat membendung sebahagian inflasi dalam jangka masa yang terdekat.

Walau bagaimanapun, kenaikan harga tarif elektrik yang berkuat kuasa pada 23 Januari depan yang melibatkan pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka akan mengakibatkan sedikit peningkatan kadar inflasi secara keseluruhannya.

“Pengiraan kami mendapati kemungkinan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat sebanyak 10 mata asas tahun ke tahun pada 23 Januari depan disebabkan sekitar 60 peratus pengguna elektrik di negara ini adalah pengguna bukan domestik dan daripada jumlah itu, 60 peratus adalah bukan PKS.

“Ia menambah bahawa pemberat elektrik dalam bakul IHP adalah pada 2.7 peratus, namun kesan pusingan kedua akan menjadi sedikit lebih besar,” tambahnya lagi.