ODF23: Festival 'Outdoor' Lenggong Sasar 1,500 Peserta & Bakal Meriah Dengan Musim Durian!

GAYA HIDUP
May 29, 2023 - 02:34 AM


Simbolik kepada pembukaan tirai menjelang penganjuran edisi kedua, Lenggong Outdoor Festival 2023  (ODF23), baru-baru ini telah diadakan sebuah sidang media khas yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri dan merangkap Ahli Parlimen Lenggong sendiri iaitu Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Jika pada tahun lepas meskipun julung kali diadakan ODF22 berjaya mengumpulkan seramai 1,000 peserta di Lenggong dan kali ini dengan penganjuran yang lebih besar serta dijenamakan semula menjadi KAHF Lenggong Outdoor Festival 2023 anggaran peserta yang disasarkan bakal menyertai festival outdoor pertama di Malaysia ini juga meningkat menjadi 1,500 peserta daripada pelbagai latar belakang dan komuniti.

Festival yang dianjurkan LOCCO dengan tajaan utama oleh KAHF sebuah jenama penjagaan kulit lelaki yang halal dari Indonesia diadakan bertujuan bagi menjadi medium penyatuan pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk gaya hidup sihat, aktiviti fizikal, lasak, serta ekstrem.

Menurut Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, penganjuran aktiviti ini turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat secara tidak langsung dengan mempromosikan daerah di Perak ini dalam industri pelancongan negara.



"Tambahan lagi, bermula tahun 2012, Lenggong telah diiktiraf sebagai sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO-Arkeologi Lembah Lenggong dan pada tahun 2021 telah diisytihar sebagai Geopark Kebangsaan yang ke-4, daerah ini sudah pasti mempunyai keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Justeru, dengan penganjuran ODF23 ini, dilihat mampu membawa Lenggong ke peringkat sewajarnya disamping membantu meningkatkan ekonomi kepada rakyat di sini," kata Datuk Seri Shamsul dalam sidang media berkenaan.

Lebih menarik dan secara kebetulan pula ODF23 kali ini yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Jun di Resort Tasik Raban sebenarnya jatuh pada musim kemuncak buah durian yang menjadi kegilaan ramai.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Lenggong juga merupakan sebuah kawasan penanaman durian kampung antara yang terbaik di negara ini dan peserta ODF23 kali ini bertuah kerana bakal berpeluang merasai sendiri kelazatan durian kampung Lenggong yang akan diusahakan dibawa ke tapak perkhemahan atau membelinya di sepanjang jalan di Lenggong.

Sementara itu, turut hadir dalam sidang media yang diadakan di Decathlon KL City Centre baru-baru ini ialah Ketua Kumpulan Perniagaan Antarabangsa Paragon, Agung Andrian selaku penaja utama KAHF dan Pengarah Bersama ODF23, Shamsul Bahrin Zainuzzaman.

“Penyertaan Kahf sebagai penaja utama adalah sebagai usaha untuk mendekati pengguna Kahf selain memperkenalkan rangkaian produk Kahf melalui aktiviti kegiatan luar dan gaya hidup aktif masa kini, " kata Agung Andrian.

Bertemakan 'Unplug & Reconnect', LOCCO selaku penganjur festival mengajak peserta ODF 2023 untuk bersantai sambil mengambil peluang bertukar pengalaman dan cerita melalui pelbagai aktiviti luar yang telah dirancang.

Festival ODF23 anjuran bersama LOCCO dengan kerjasama Majlis Daerah Lenggong (MDL) akan menyaksikan peminat aktiviti luar dari dalam dan luar negara berkumpul, meraikan kepelbagaian minat dan berkongsi idea menerusi pelbagai pengisian seperti sesi forum, bengkel, penerokaan serta persembahan muzik.

"Antara aktiviti yang telah dirancang termasuklah aktiviti perkhemahan, Stand-Up Paddling, berkayak, Bridge Rappelling dan memanah.

Aktiviti merentas desa turut diteruskan tahun ini selain beberapa aktiviti baharu yang diperkenalkan seperti ODF Ride, Lake Flying Fox, Flatland Skimboarding dan Tree Climbing," jelas Shamsul Bahrin

Beberapa bengkel turut dijalankan seperti handmade paracord, ultralite hiking, rope & climbing, pembuatan sabun organik serta bengkel keselamatan dalam air.

Selain itu, bagi merancakkan perjalanan ODF23, sesi perkongsian dan forum turut disenaraikan termasuklah Cerita Kedai Kopi, Sembang Bawah Fly, kesedaran komuniti dan klinik kayuhan basikal.

Peserta juga akan disajikan dengan persembahan muzik santai pada waktu malam oleh kumpulan band muzik gig dan tempatan seperti Teman Lelaki, Cisco, Nami, The Mirza dan ramai lagi.

ODF23 turut didukung lebih 35 kumpulan komuniti dan turut dimeriahkan dengan tajaan oleh ANBOT, HAUSBOOM, BOOM+, Lost World of Tambun dan Kembara Meals serta disokong oleh rakan strategik termasuklah RNR Adventures, Skycamp, Santrav, Pretty World, 30 Ascend, Project Vacation, Santrav, Tanjak, KKTM Lenggong, Decathlon dan Nomadism.

Malah, Rileklah juga menjadi rakan media strategik yang akan membuat liputan mengenai ODF23 di kesemua platform media sosial dan laman portal Rileklah.com.

Bagi anda yang berminat dengan aktiviti outdoor dan ingin menyertai ODF23, jualan tiket masih dibuka di laman sesawang www.outdoorfest.my dan anda juga berpeluang memenangi tiket percuma dalam pertandingan yang dianjurkan di Facebook Page Rileklah ini.

Destination: