Orang Berbudi Kita Berbahasa, CEO Apple Bakal Memberi Sumbangan kepada Mangsa Banjir di Malaysia

GAYA HIDUP
December 22, 2021 - 05:28 PM


Melihatkan bencana yang teruk melanda Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook mengumumkan akan memberi bantuan kepada Malaysia dan Filipina. Taufan Rai telah melanda Filipina dan memusnahkan banyak harta benda.

Dalam satu tweet ringkas, Tim menyatakan bahawa Apple akan menyumbang kepada usaha pemulihan, baik pulih dan pembangunan semula jangka panjang di Malaysia dan Filipina.

“Taufan Rai telah mengakibatkan kemusnahan yang bukan sedikit di Filipina dan Malaysia. Banyak keluarga yang kehilangan terlalu banyak. Apple akan menyumbang bagi meringankan beban, membaik pulih dan berusaha untuk membantu pembangunan jangka panjang,” tulis Cook.

Perkara tersebut telah mendapat respon yang baik dari warganet terutamanya rakyat Malaysia. Ramai yang telah singgah ke ruangan komen CEO Apple itu dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinannya.

Manakala bekas ahli tinju profesional terkenal dan kini menjadi senator Filipina, Manny Pacquiao pula mengucapkan terima kasih kepada Tim dan memberitahu pasukannya di Filipina bersedia untuk membantu.

Untuk makluman, beberapa syarikat besar terutamanya di Malaysia telah tampil memberikan bantuan untuk mangsa-mangsa banjir. Antara yang menjadi perbualan ramai adalah Mydin, Petronas, Decathlon dan banyak lagi.