Orang Kata Pelihara Kucing Kurangkan Risiko Sakit Jantung & Strok! Jom Adopsi Si Bulus Di 'PetFinder'

GAYA HIDUP
September 30, 2020 - 12:13 PM


Adakah anda seorang pencinta kucing? Jika ya ini ada satu berita baik untuk anda!

Public Health Malaysia telah berkongsi mengenai satu kajian yang dilakukan kepada lebih 4000 individu selama tempoh 10 tahun dan menemui:

✔️ Pemilik kucing mempunyai 30% risiko lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung dan strok berbanding individu yang tidak membela kucing.
✔️ Individu yang membela kucing juga kurang rasa keseorangan dan mempunyai mood yang lebih baik.

Penjelasan di sebalik penemuan kajian ini adalah berkaitan dengan pengurangan gejala stress dan kebimbangan serta kawalan tekanan darah yang lebih baik.

Kucing adalah haiwan peliharaan yang setia dan manja. Jika anda tidak mempunyai kucing, menonton video kucing di internet juga telah terbukti dapat meningkatkan tenaga dan menjana emosi yang positif!

Hebatkan kesan binatang kesayangan Nabi ini!

Jadi bagi anda yang ingin mula memelihara si bulus, atau menambah koleksi haiwan comel ini -- anda boleh mengadopsi mereka melalui "PetFinder".

Untuk pengetahuan anda, PetFinder merupakan sebuah pusat perlindungan haiwan yang telah beroperasi sejak 13 tahun lalu dan sudah membantu 46,619 binatang peliharaan seperti kucing, anjing, hamster, ular serta burung menemui pemilik baharu mereka dengan rumah yang lebih selesa.

Namun pada masa ini, masih terdapat kira-kira 17,459 haiwan lagi yang menunggu untuk diambil sebagai 'anak angkat' oleh mereka yang berminat.

Anak-anak bulus yang dilindungi di PetFinder adalah terdiri daripada pelbagai jenis dan baka yang terlatih serta semuanya jinak-jinak belaka. 

Jadi jika anda adalah individu yang pertama kali nak merasai pengalaman membela si comel ini, anda boleh mengadopsi mereka secara PERCUMA di PetFinder.

Menariknya, sekarang ini PetFinder juga bermurah hati untuk menghadiahkan makanan kucing berjenama Royal Canin kepada 50 orang pertama yang mengadopsi kucing di pusat berkenaan, selain pemilik baharu juga bakal mendapatkan Starter Kit & Baucer Royal Canin -- yang mengandungi mangkuk, cawan pengukur, manual pemula, kupon dan lain-lain.

Selain menyediakan khidmat mengadopsi kucing, jika anda pernah kehilangan binatang kesayangan anda juga yang sehingga kini belum ditemui -- anda juga boleh mencarinya di PetFinder.

Ini kerana PetFinder turut menerima kehadiran haiwan-haiwan yang terbiar tanpa tuan atau di jalanan yang ditemui oleh orang ramai.

Siapa tahu jika anda bernasib baik, si bulus tercinta anda sebenarnya ada di PetFinder?

Jika anda berminat untuk memelihara kucing atau pelbagai jenis haiwan lain di PetFinder, anda boleh melayari laman web rasmi PetFinder Malaysia atau pergi sahaja ke Facebook mereka di PetFinder.

Kredit gambar: IG Johan and His Cats