Orang Selalu Cakap 'Raya Kan Sebulan'! Tapi Boleh Ke Sebenarnya Kita Sambut Raya Sepanjang Syawal?

GAYA HIDUP
May 25, 2022 - 12:41 PM


Pernah dengar tak orang selalu kata "Raya kan sebulan!"

Malah terdapat persoalan mengenai adakah sebenarnya Hari Raya Aidilfitri hanya sehari atau orang Melayu sahaja yang suka menyambutnya hingga sebulan lamanya iaitu sepanjang bulan Syawal.

Berikut adalah jawapan dan penjelasan yang dipetik daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

JAWAPAN RINGKAS

- Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal.

- Menyambut hari raya dengan melakukan ziarah menziarahi pada sepanjang Syawal merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

- Menziarahi dan memuliakan tetamu adalah suatu yang dianjurkan oleh Nabi SAW.

- Namun orang Ramai dinasihatkan supaya tidak melupakan puasa sunat 6 Syawal, di samping sibuk melakukan ziarah-menziarahi sepanjang bulan Syawal serta tidak membazir atau melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syarak sepanjang aktiviti atau majlis ziarah.

PENJELASAN 

Dalam kitab Tahzib al-Lughah disebutkan bahawa hari raya dinamakan dengan aid(عيد) kerana  hari raya datang dengan kegembiraan pada setiap tahun.

Setelah sebulan berpuasa bersabar menahan lapar dan dahaga maka pada hari raya umat Islam dianjurkan untuk bergembira.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa ketika mana Nabi SAW sampai ke Madinah Nabi mendapati penduduk Madinah memiliki 2 hari yang mereka bergembira padanya lalu Nabi SAW bertanya: “Apakah dua hari ini?” lalu jawab mereka: “Ia adalah hari untuk kami bergembira”, nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الْأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik iaitu hari raya Aidilfitri dan Aidiladha.”

(Riwayat Abu Daud)

Pada hari raya umat Islam juga digalakkan untuk saling menziarahi dan menyambung silaturahim. Ziarah menziarahi pada hari raya dapat difahami daripada amalan ziarah yang dilakukan oleh Abu Bakar RA ke rumah baginda Nabi SAW.

Suasana di Malaysia orang ramai akan meneruskan aktiviti menziarahi saudara mara dan rakan taulan sehinggalah akhir Syawal dengan mengadakan rumah terbuka dan sebagainya. Terdapat banyak hadis yang menyebut berkenaan anjuran Islam untuk menyambung hubungan siaturahim, ukhuwah dan memuliakan tetamu. Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda:

مَن أحَبَّ أنْ يُبْسَطَ له في رِزْقِهِ، ويُنْسَأَ له في أثَرِهِ، فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Maksudnya: “Siapa yang suka untuk diluaskan rezkinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia menyambung silaturahim.”

(Riwayat Al-Bukhari)

Manakala berkenaan kelebihan memuliakan tetamu pula Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا، أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلاَ يُؤْذِ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka berkatalah benar atau diam, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat janganlah menyakiti jiran, siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamu.” 

(Riwayat Al-Bukhari)

 

Destination: