“Patutlah No 1 Untuk SPM 2023“- Fasiliti Canggih Di Maahad Tahfiz Negeri Pahang Jadi Perhatian

GAYA HIDUP
May 30, 2024 - 01:44 PM


Semua sedia maklum bahawa isnin lepas adalah hari pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pengumuman tersebut turut mendedahkan statistik berkaitan pelajar dan senarai 20 sekolah yang mencapai keputusan terbaik mengikut Gred Purata Sekolah (GPS). 

Mendapat tempat pertama sebagai sekolah yang mencapai keputusan terbaik dengan jumlah GPS 1.070, Maahad Tahfiz Negeri Pahang telah menarik perhatian ramai pihak kerana mampu mengalahkan beberapa sekolah berasrama penuh seperti Sekolah Sultan Alam Shah dan juga Kolej Tunku Kurshiah serta banyak lagi. 

Hal tersebut membuatkan ramai kagum dan mula membuat carian tentang Maahad Tahfiz Negeri Pahang untuk mengetahui bagaimana mereka boleh mendapat tempat pertama dalam keputusan SPM 2023.

Bukan hanya itu, turut tular satu video di platform X yang memaparkan fasiliti mewah dan selesa buat para pelajar yang dimiliki oleh sekolah berkenaan.

Menerusi video tersebut, dapat dilihat fasiliti di beberapa makmal sains, komputer dan juga perpustakaan.

Malah ia turut menunjukkan sekolah berkenaan mempunyai dewan auditorium yang sangat besar dan luas. Bukan hanya itu, kelengkapan seperti kerusi yang digunakan dalam dewan yang persis seperti dewan kuliah di universiti atau pejabat turut membuatkan ramai kagum. 

Yang lebih mengagumkan lagi, sekolah itu juga menawarkan sukan yang menarik seperti berkuda, memanah, renang, golf, bola sepak, termasuklah bola jaring.

Video perkongsian memaparkan fasiliti di sekolah berkenaan secara tidak langsung membuatkan ramai kagum serta menyifatkan ia seperti kolej swasta.

Malah ramai yang sanggup untuk membayar jumlah yang mahal untuk kebajikan anak-anak sekiranya mereka memasuki sekolah tersebut. 

 

Sumber: X 

Destination: