Penerima Vaksin Di Luar Negara Boleh Mohon Sijil Vaksin MySejahtera

GAYA HIDUP
September 06, 2021 - 05:23 PM


Jika sebelum ini ada dakwaan yang mengatakan bahawa golongan yang menerima vaksin di luar negara berdepan masalah ketika mahu merentas negeri atau menjamu selera di kedai -- kini mereka yang menerima vaksin di luar negara, termasuk Singapura boleh memohon sijil dalam MySejahtera melalui Pejabat Kesihatan Daerah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata pendaftaran secara sukarela itu bertujuan memudahkan golongan tersebut ketika melakukan urusan harian.

“Kami berpendapat isu ini perlu diutamakan dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) akan membantu mereka untuk mendapat sijil vaksinasi,” katanya.

Mereka yang menerima vaksinasi di luar negara perlu memohon di pejabat kesihatan daerah berhampiran dengan tempat kediaman masing-masing.

“Pejabat kesihatan akan meminta mereka menunjukkan sijil vaksinasi di luar negara, sama ada yang tersimpan dalam telefon atau bercetak. Pihak berkuasa akan melakukan semakan berdasarkan maklumat yang diberikan.

“Selepas semakan selesai, pejabat kesihatan daerah akan menghantar maklumat ke jabatan kesihatan negeri.

” Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) seterusnya akan mengeluarkan sijil melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Dr. Adham berkata, vaksin yang diterima bagaimanapun harus jenis yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Sumber: Malaysia Gazette

Destination: