Penginapan Airbnb Jadi Pilihan Rakyat Malaysia Ketika Melancong Dalam Negara - Kajian

GAYA HIDUP
March 08, 2022 - 06:23 PM


Lebih separuh daripada responden berpotensi untuk menginap di penginapan sewa jangka pendek ketika melakukan perjalanan domestik.

Itu hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Airbnb iaitu penyedia perkhidmatan penginapan dalam talian.

Dalam satu kaji selidik yang dilakukan dalam kalangan 1,020 rakyat Malaysia antara 23 Disember 2021 hingga 14 Januari 2022 mendedahkan bahawa lebih dua pertiga (68 peratus) rakyat Malaysia berkemungkinan menggunakan Airbnb apabila mereka melakukan perjalanan selanjutnya.

Manakala 42 peratus responden menyewa di Airbnb dalam tempoh 12 bulan akan datang.

"Hasil kaji selidik itu menunjukkan konsensus tempatan yang kukuh bahawa penginn sewa jangka pendek memberi manfaat kepada masyarakat tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan itu juga menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia yakin terhadap penginapan sewa jangka pendek dapat memberi kesan positif untuk komuniti kerana pelancong dari pasaran domestik dan antarabangsa terus menyokong pemulihan ekonomi negara.

Lebih dua pertiga bersetuju bahawa ia mewujudkan rangsangan ekonomi di kawasan kejiranan dan 62 peratus responden percaya secara keseluruhan penginapan sewa jangka pendek memberi manfaat bukan sahaja untuk tuan rumah tetapi juga perniagaan dalam komuniti.

Menurut kenyataan itu juga, lebih 60 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menyokong penduduk di bandar menyewakan rumah mereka di Airbnb dan 80 peratus responden percaya rakyat Malaysia harus dibenarkan mengguna pangsapuri kosong yang berlebihan sebagai sewa jangka pendek bagi menyelesaikan isu hartanah yang tidak terjual, terutama di negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Dasar Awam (Asia Tenggara) Mich Goh berkata kaji selidik itu jelas menunjukkan rakyat Malaysia yakin penginapan sewa jangka pendek membuahkan hasil positif bagi komuniti kedua-dua pelancong tempatan dan antarabangsa yang menggunakan Airbnb ketika melancong dalam Malaysia.

"Kita memerlukan kerangka kerja kebangsaan yang jelas, mudah dan berkesan yang membolehkan rakyat Malaysia di seluruh negara menjadi tuan rumah bersama kami.

"Airbnb komited sepenuhnya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan ke arah usaha ini. Kami juga kekal fokus untuk menyokong mengembalikan pelancongan dan mempersiapkan komuniti kami untuk mengalu-alukan pelancong dengan selamat dan bertanggungjawab," tambahnya.

Sumber: Bernama

Destination: