Pereka Fesyen Croatia Lancar Koleksi ‘Topeng Ceria’

GAYA HIDUP
March 16, 2020 - 11:56 AM


“Pakai topeng sekiranya anda sakit”. Setidaknya, ayat ini yang akan dan kerap didengari akhir – akhir ini kerana peningkatan kes positif Covid-19 seluruh dunia dan di Malaysia khususnya.

Umum ketahui, kebanyakan topeng kesihatan atau topeng muka berkenaan hanya keluar dalam satu warna dan ia adalah standard di seluruh dunia dan kebiasaanya (yang dipakai di hospital dan klinik) mempunyai 3 lapisan.

Lapisan luar menghalang cecair, fungsinya untuk menghalang air liur dan mukus keluar ke persekitaran dan ia tidak bersifat untuk menapis. Ia juga menghalang cecair untuk menembusi topeng berkenaan.

Lapisan tengah bertindak sebagai penapis yang akan menapis dan mengasingkan partikel dan titisan air dari dalam dan luar. Ia menghalang virus dan kuman keluar dan menghalang mereka masuk.

Perkara yang sama juga berada di lapisan paling dalam. Cara pemakaian yang betul ialah, bahagian bewarna berada diluar.

Mungkin secara tidak sengaja atau mungkin juga mahu menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain dan mendatangkan keceriaan, seorang pereka fesyen dari Croatia, Zoran Aragovic telah mereka koleksi ‘ceria’ bagi topeng menutup muka ini.

Menurut pereka berkenaan, rekaan ini terhasil secara spontan di kedai kopi ketika beliau dan rakan – rakan berkongsi cerita tentang coronavirus serta kekurangan stok topeng. Secara berseloroh, beliau berkata dia akan menghasilkan topeng yang berwarna warni dan ceria!

Topeng yang dihasilkan Aragovic ini diperbuat daripada kapas dan mempunyai pelbagai design yang menarik seperti karakter kartun, pop art dan komik.

Topeng yang dijual pada €9 (RM42) ini mendapat sambutan ramai di Croatia dan sehingga kini ia sering dipesan walaupun tidak efektif melawan bakteria dan kuman. Biasanya topeng diperbuat dari kapas ini hanya berfungsi untuk habuk.

p/s: Topeng ini tak sesuai digunakan untuk cegah Covid-19 ye.