Replika Barang-Barang Plastik Perarakan HIMPIT 2023 Dirampas Polis

GAYA HIDUP
February 22, 2023 - 10:56 AM


Baru-baru ini, hangat didebatkan oleh netizen tentang perarakan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT) 2023 di sebuah resort di Setiu pada Jumaat lalu. Ada yang tidak bersetuju akan perarakan tersebut.

Terkini, polis telah merampas replika senjata yang digunakan ketika perarakan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, rampasan replika berbentuk senjata itu dilakukan pihaknya di Marang semalam.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan bagi membantu siasatan polis berhubung isu perarakan peserta program berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, antara barangan yang dirampas ialah kostum dan replika diperbuat daripada kayu serta plastik polivinil (PVC).

Terdahulu, gambar perarakan Pemuda Pas Terengganu berarak menggunakan replika pedang, lembing dan perisai tular di media sosial dipercayai diadakan di Setiu pada Jumaat lalu.

Rata-rata warganet mempersoalkan tindakan mereka membawa senjata secara terbuka dalam perarakan itu yang dikaitkan dengan keganasan dan provokasi.

Susulan kejadian itu, seramai 12 individu termasuk penganjur dan ahli jawatankuasa program dipanggil polis semalam bagi membantu siasatan berhubung perarakan berkenaan.

Destination: