Selangor Jadi Negeri Pertama, Sediakan Tuala Wanita Percuma!

GAYA HIDUP
December 01, 2022 - 05:08 PM


Selangor menjadi negeri pertama memperkenal program pemberian tuala wanita percuma. Juwairiya Zulkifli berkata isu kemiskinan haid bukan satu perkara baharu namun disebabkan rasa malu dan stigma masyarakat yang menganggap ia pantang larang maka jarang dibincangkan.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM200,000 sebagai inisiatif untuk kempen ini. Menurutnya lagi, kemiskinan haid adalah situasi apabila individu menghadapi kesukaran mendapatkan tuala wanita akibat kekangan kewangan atau ketiadaan bekalan air bersih serta tempat pelupusan sesuai.

“Antara golongan berisiko menghadapi situasi seperti ini adalah wanita di luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar. Manakala bagi pelajar perempuan pula ketiadaan tuala wanita boleh membatas pergerakan dan aktiviti di sekolah.

“Masalah ini sekali gus mengganggu pembelajaran dan akhirnya pelajar memilih untuk tidak hadir ke sekolah dan ini merupakan salah satu faktor berlakunya keciciran pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.