Sterling Terpaksa Lupakan Piala Dunia, Rumah Dipecah Masuk
GAYA HIDUPPemain England, Raheem Sterling yang tersisih daripada skuad ketika kemenangan 3-0 ke atas Senegal pada Piala Dunia awal pagi tadi, akan pulang ke Britain hari ini untuk bersama keluarganya, kata jurulatih Gareth Southgate, ketika media tempatan melaporkan rumah pemain itu dipecah masuk.
"Saya menghabiskan beberapa ketika bersamanya hari ini. Dia akan berlepas pulang. Jelas pada saat ini keluarga adalah perkara yang paling penting," tegas Southgate, apabila ditanya mengenai penyerang Chelsea itu berikutan laporan rumahnya diceroboh masuk.
"Jadi kami mahu memberinya ruang dan masa, kami akan lihat dalam beberapa hari akan datang bagaimana perkembangannya."
Southgate tidak memberikan butiran terperinci mengenai insiden itu atau jika Sterling bercadang untuk kembali bersama skuad di Qatar.
Pemain berusia 27 tahun yang beraksi 81 kali setakat ini diketepikan daripada skuad bagi perlawanan yang menyaksikan England menempah tiket ke suku akhir Piala Dunia menentang juara bertahan Perancis hujung minggu ini.
Ditanya mengenai insiden itu, Southgate berkata, beliau tidak mahu membincangkannya secara terperinci kerana ia adalah hal peribadi.
"Jelas ia tidak ideal bagi kelompok pemain ini dalam persediaan bagi satu perlawanan, tetapi individu lebih penting daripada kelompok pemain pada saat sebegitu," katanya kepada wartawan.
Kapten England, Harry Kane yang menjaringkan gol kedua, berkata pasukan itu mendoakan yang terbaik buat Sterling dan berharap untuk bertemunya sekali lagi 'secepat mungkin'.
"Tidak mudah untuk melihat seorang rakan pasukan anda terpaksa berdepan sesuatu seperti itu," katanya.
"Jadi kami akan menanganinya hari demi hari, saya pasti Raheem bercakap dengan pengurus dan membuat keputusan terbaik buatnya dan keluarganya, itulah yang paling penting."