Tahniah KL City Tewaskan ATK Mohun Bagan 3-1 Dalam Piala AFC Mara Ke Final Play Off Inter Zon
GAYA HIDUPWalaupun memiliki abang kepada Paul Pogba, Florentin di benteng, ATK Mohun Bagan tetap ditewaskan KL City di semifinal Inter-zon Piala AFC 2022, sebentar tadi.
Mereka ‘mengorbankan’ penyerang yang baru menyertai pasukan, Dimitri Petratos untuk menyenaraikan Pogba untuk menghalang hajat KL City
Babak pertama menyaksikan KL City lebih bertahan berbanding melakukan serangan ke kubu tuan rumah, ATK Mohun Bagan yang tampak tenang.
Pengendali, Bojan Hodak memilih merehatkan terlebih dahulu penyerang, Romel Morales dan mengharapkan Jordan Mintah sebagai penyerang utama. Mintah memiliki dua peluang terbaik untuk meledak jaringan.
‘The Mariners’ dilihat lebih ofensif apabila pelawat bermain agak ke bawah untuk bertahan dengan meletakkan formasi 4-2-3-1 sebagai taruhan. ATK Mohun Bagan tampak menggunakan koridor di kanan dan kiri menerusi Liston Colaco dan Joni Kauko untuk menekan benteng pertahanan pelawat.
Minit ke-17, bek kanan KL City, Kamal Azizi terlepas kawalan Colaco yang akhirnya telah membolehkan lawan melepaskan percubaan pertama ke gawang ‘The City Boys’ yang cemerlang diselamatkan Azri Ghani.
Seminit kemudian, Mintah hampir membolosi gawang lawan, namun pertahanan lawan pantas mengeluarkan bola dari kawalan pemain itu. Sekali lagi, menerusi sepakan penjuru, penyerang berusia 26 tahun itu hampir mencetak gol selepas lambungannya sedikit melewati palang gol.
Tuan rumah tiba dua kali menguji pelawat menerusi percubaan Manvir Singh dan Colaco, namun ia gagal disudahkan di minit ke-36 dan ke-42.
Babak kedua bermula dengan tekanan demi tekanan di ‘defensive third’ KL City, namun benteng pelawat yang diterajui Irfan Zakaria, Giancarlo Gallifuoco, Kamal Azizi dan Declan Lambert dilihat kukuh bertahan.
Tuan rumah masih mengharapkan Colaco untuk menjadi fokal serangan mereka di sebelah kiri. Kelincahan pemain berusia 23 tahun itu sedikit menyusahkan Kamal Azizi yang beberapa kali dilihat terlepas kawalan.
Hampir sejam diasak, kapten ‘The City Boys’, Paolo Josue meledak jaringan sensasi untuk meletak mereka di depan. Menerima hantaran Akram Mahinan, pemain tengah itu melepaskan rembatan deras dengan kaki kiri dari luar kotak penalti untuk tewaskan penjaga gol, Vishal Kaith.
Hodak pantas membuat dua pertukaran selepas itu dengan memasukkan Romel Morales dan Zhafri Yahya untuk Mintah dan Hadin Azman.
Ini mungkin bagi memburu lagi jaringan tambahan untuk pelawat lebih selesa walaupun acapkali ditekan pasukan tuan rumah sepanjang aksi.
Minit ke-72, hantaran baik Ryan Lambert berjaya menemui Zhafri, namun pemain tersebut hanya melepaskan rembatan tersasar dari gawang.
‘The Mariners’ terus memberi tekanan kepada pelawat dengan asakan bertubi-tubi, tetapi KL City dilihat masih kukuh bertahan untuk mencipta sejarah.
Di hujung perlawanan, pemain gantian, Fardin Ali Molla berjaya meledak gol yang dicari-cari, jaringan penyamaan buat ATK Mohun Bagan. Bola yang ditepis Azri Ghani disambutnya dengan rembatan menggegar gawang.
Namun, ia tidak bertahan lama. seminit kemudian, Fakhrul Aiman berjaya menanduk masuk sepakan percuma oleh Josue untuk meletak semula ‘The City Boys’ di depan.
Sebelum pengadil meniup wisel penamat, Morales berjaya menambah satu gol lagi buat KL City selepas kesilapan pertahanan lawan terlepas kawalan bola kepadanya dimanfaatkan
Sumber: Semuanyabola
Skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) merupakan satu-satunya wakil Liga Malaysia yang masih bertanding di peringkat kalah mati saingan kelab Asia selepas Kedah dan JDT tersingkir pada bulan lepas.
Mereka dijadualkan bertemu Kelab India, ATK Mohun Bagan dalam perlawanan separuh akhir antara zon, Piala AFC 2022 di Kolkata pukul 9.30 malam ini waktu Malaysia.
Pengendali KL City, Bojan Hodak mempunyai rekod yang baik berdepan kelab India. Beliau pernah membantu JDT menewaskan Bengaluru dalam saingan play-off AFC Champions League 2015 dan East Bengal dalam AFC Cup 2015.
Perlawanan itu juga bakal menyaksikan pertembungan taktikal Hodak dan pengendali ATK Mohun Bagan (Juan Ferrando) yang menjadi salah satu faktor penentu siapa yang akan mara ke final Antara Zon nanti.
“Mohun Bagan merupakan antara pasukan terkuat di India dan mereka mempunyai ramai penyokong. Rasanya separuh daripada stadium akan dipenuhi oleh penyokong mereka. Ianya akan menjadi perlawanan yang sengit.
“Saya pernah menentang kelab India dua kali, dan menang kedua-duanya. Jadi, saya harap ia berulang lagi esok (malam ini). Apa yang baik ialah kami tidak berada dalam tekanan.
“Kami hanya sebuah kelab kecil dan 30 tahun tidak mengecapi sebarang kejayaan. Mohun Bagan lebih tertekan kerana mereka akan bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri. Kami hanya perlu menikmatinya dan buat yang terbaik,” kata Bojan Hodak dipetik dalam AFC.