The Giving Bank Rayu Sumbangan RM350,000 Biayai Projek Air Bersih Untuk 2,000 Keluarga

GAYA HIDUP
August 29, 2019 - 12:47 PM


Mengikut kajian Sains, manusia mampu bertahan selama 3 minggu tanpa bekalan makanan namun jika tiada bekalan air kita hanya boleh hidup antara 3 atau 4 hari sahaja!

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, setiap tahun dianggarkan 1.8 juta orang meninggal dunia akibat penyakit Diare yang disebabkan minum daripada sumber air kotor dan tercemar mengandungi bakteria, virus dan parasit.

Malah, kira-kira 2.1 bilion rakyat di seluruh dunia sehingga kini belum pernah mendapat akses bekalan air bersih di rumah mereka atau dengan kata lain, tidak pernah merasai betapa nikmatnya dapat minum air bersih bagi menghilangkan dahaga serta menggunakannya untuk aktiviti harian seperti memasak dan membasuh.

Fakta itu mungkin perit untuk didengar, tetapi itulah realiti sebenar yang masih berlaku di kebanyakan Negara Dunia Ketiga!

Tidak mahu masalah itu terus membelenggu masyarakat termasuk di Malaysia, The Giving Bank -- sebuah organisasi yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan tampil melancarkan "Projek Air Bersih" bagi menyediakan penyelesaian bekalan air bersih kepada masyarakat kurang bernasib baik.

Projek tersebut adalah bagi membekalkan Sistem Penyulingan Air Bersih kepada 2,000 keluarga di Malaysia, Kemboja, Filipina, Nepal, India, Myanmar, Afrika, Thailand, Bangladesh, Vietnam dan Sri Lanka.

Ia dijangka bakal memberi manfaat sumber bekalan air bersih kepada lebih 10,000 individu.

Sistem air berkenaan yang berharga RM175 bagi satu set akan dihantar secara berperingkat ke kampung-kampung terpilih, bermula Disember depan hingga Jun 2020.

Bagi merealisasikan inisiatif terbaharu itu, The Giving Bank memerlukan sumbangan dana sebanyak RM350,000.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan atau derma bagi membiayai Projek Air Bersih tersebut, boleh berbuat demikian dengan melayari: thegivingbank.com/donate/donate_campaign/clean-water-project.

Penyaluran sumbangan boleh dilakukan bermula sekarang hingga 31 Oktober depan.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai segala kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan yang dilakukan oleh The Giving Bank, layari sahaja laman web rasmi mereka atau Facebook The Giving Bank Organisation.

Semoga keprihatinan dan sumbangan anda memberi sinar kehidupan baharu kepada golongan yang benar-benar memerlukan!