Tindakan Founder Misi & Staff 'Gotong-Royong' Bersihkan Tasik Puncak Alam Raih Pujian
GAYA HIDUPMalaysia adalah antara negara yang mempunyai persekitaran alam sekitar yang indah termasuklah laut, tasik, sungai dan sebagainya. Namun, sikap tidak peka terhadap persekitaran alam sekitar seperti membuang sampah merata tempat boleh menyebabkan ia tercemar.
Bukan itu sahaja, ia juga boleh menjadi punca keadaan ekosistem negara ini semakin membimbangkan.
Menyedari akan tanggungjawab manusia kepada alam sekitar, seorang individu yang dikenali sebagai Founder Misi telah mengambil inisiatif membersihkan sebuah tasik di Puncak Alam yang dipenuhi dengan sampah sarap.
Menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya, inisiatif yang disifatkan sebagai khidmat masyarakat itu dilakukan bersama 40 orang kakitangan Founder Café dan Ibu Pejabat Misi.
“Ini cuma tanggungjawab kami terhadap kawasan Puncak Alam, tempat kami duduk. Semua dalam video ni adalah staf Founder Cafe dan Team HQ Misi seramai 40 orang.
“Ini sebagai aktiviti khidmat masyarakat sebelum aktiviti bawa semua team meals entertainment seminggu sekali.
“Saya cuma nak sampaikan bahawa ‘kita kena bertanggungjawab ke atas apa yang terjadi di atas bumi ini’,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.
Menerusi video dikongsikan, terdapat banyak sampah-sarap terdiri daripada botol kosong terapung di tepi tasik berkenaan. Bahkan, walaupun selepas dua jam mereka mengemas, sampah-sarap masih banyak lagi di kawasan tasik itu.
Di akhir video berkenaan, kelihatan berpuluh plastik sampah diangkat ke bahagaian belakang kenderaan 4X4 serta dibawa menggunakan motosikal ke tempat pembuangan sampah yang sebenar.
Malah, pemandangan tasik itu dilihat kembali cantik seperti biasa selepas kumpulan individu ini bertindak membersihkan kawasan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya memuji tindakan founder Misi dan stafnya yang sanggup membersihkan tasik berkenaan.
Terdahulu, Founder Misi antaranya pernah menjadi perhatian umum apabila membantu dua bayi yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1, Muhammad Athif Fahri dan Wan Muhammad Naail, menerusi kutipan dana awam.
Sumber: Facebook