"Tunggu Je Umum 20 Haribulan Nanti" - Hari Raya Jatuh Hari Jumaat Tipis

GAYA HIDUP
April 12, 2023 - 05:04 PM


Kedudukan anak bulan pada 20 April nanti tidak memenuhi kriteria Imkanur Rukyah bagi menjangkakan tarikh 1 Syawal jatuh pada 21 April.

Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, Amran Awaludin berkata, sehubungan itu umat Islam dinasihat untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menunggu keputusan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.

“Jangan buat sebarang spekulasi, kita berpandukan kaedah rukyah dan hisab maka kena tunggu keputusan cerapan pada petang hari Khamis 20 April itu nanti.

“Berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah yang telah ditetapkan memang kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria tersebut yang menolak jangkaan 1 Syawal jatuh pada 21 April,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara akan melaksanakan cerapan anak bulan untuk menentukan tarikh 1 Syawal pada 20 April ini.

Beliau dalam pada itu menyarankan umat Islam untuk menumpukan dalam amal ibadat ketika ini terutama apabila bulan Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir.

Sumber: Kosmo

Destination: