Untungla Penyimpan ASB, Dividen Agihan Pendapatan 5.25 Sen Seunit Untuk Tahun 2023

GAYA HIDUP
December 21, 2023 - 04:40 PM


Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.25 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus 1.00 sen seunit.

Agihan pendapatan itu kekal kompetitif dan mengatasi penanda arasnya, kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

Bilangan akaun ASB meningkat lebih 200,000 kepada 10.8 juta akaun, menunjukkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.

Agihan pendapatan itu juga lebih baik berbanding tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, yang membabitkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit serta bonus tambahan 0.50 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata di sebalik keadaan pasaran yang sentiasa berubah-ubah, PNB telah secara konsisten memberikan pulangan yang kompetitif melalui dana harga tetapnya, yang kesemuanya telah mengatasi penanda aras mereka selama ini.

Oleh itu, beliau berkata, orang ramai digalakkan agar terus menyimpan untuk jangka masa panjang dan masa depan yang terjamin.

"Kami mengiktiraf kepentingan memperjuangkan agenda celik kewangan dan berpandukan matlamat kami yang diperbaharui baru-baru ini, 'Untuk Mengukuh Kedudukan Kewangan Rakyat Malaysia, Merentas Generasi', kami komited untuk berkhidmat kepada pemegang unit kami dan memberikan hasil yang kompetitif.

"Tahun ini, kami menyaksikan peningkatan dalam bilangan akaun kepada 15.6 juta setakat Oktober 2023 berbanding 15.2 juta tahun lalu.

"Populariti berterusan produk unit amanah kami terbukti melalui kajian daripada 2023 RinggitPlus Malaysian Financial Literacy Survey (RMFLS) dengan produk ASNB mengekalkan kedudukan mereka sebagai pilihan pelaburan paling popular," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata ASB telah mencatatkan prestasi yang kukuh, hasil daripada perumpukan aset dan strategi kepelbagaiannya.

Beliau berkata, beberapa urus niaga penting telah dilaksanakan untuk meningkatkan nilai bagi pemegang unit.

"ASB terus menjadi pelaburan pilihan jutaan masyarakat Bumiputera dan terus memberikan pulangan yang konsisten, membentuk sebahagian daripada pelan simpanan untuk lebih 10.8 juta pelanggan," katanya.

Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.

Unit-unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2024.

Urus niaga ASB di semua cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua platform digital dan perbankan internet, akan ditangguhkan buat sementara waktu dari 22 hingga 25 Disember 2022.

Satu ciri khas diperkenalkan pada tahun ini bagi menggalakkan rakyat Malaysia terus menyimpan, yang membolehkan transaksi pelaburan tunai tambahan dalam ASB bermula 26 Disember 2023.

Urus niaga pelaburan itu akan diambil kira untuk baki minimum bulanan pada Januari 2024, membolehkan pemegang unit menikmati pengiraan penuh pengagihan pendapatan mulai Januari 2024.

Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di semua platform digital dan perbankan internet bermula 1 Januari 2024, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 2 Januari 2024.