[VIDEO] 4 Amalan 'Sihat' Mat Salleh Yang Kita Tak Perlu Ikut
GAYA HIDUPSetiap kelompok masyarakat pastinya mempunyai amalan atau tradisi yang tersendiri berkaitan dengan penjagaan kesihatan. Habit atau rutin yang baik bagi mereka mungkin nampak pelik pada kita.
Baru-baru ini di platform TikTok, seorang doktor perubatan tempatan iaitu Dr Onn Akbar Ali dari Pusat Pakar Jantung KPJ Kajang telah berkongsi sebuah video mengenai empat perangai orang berkulit putih atau biasa dipanggil Mat Salleh yang tidak patut rakyat Malaysia ikuti.
@dronnakbarali 4 perangai mat salleh yang kita tak perlu ikut! Follow, Like & Share. #dronn #pakarjantung #kpjkajang #habit #matsalleh #egg #malas #juice #lowfat #mouthwash #heart ♬ original sound - DR ONN AKBAR ALI
Menurut doktor tersebut, Mat Salleh tidak semestinya seseorang yang pandai. Beliau berkata begitu kerana sudah 20 tahun tinggal di negara orang berkulit putih. Menerusi video itu juga, beliau menyenaraikan empat tabiat Mat Salleh yang tidak patut rakyat kita ikut.
Namun, apa yang disenaraikan oleh beliau itu telah mengejutkan orang ramai kerana empat tabiat atau perangai yang dilakukan golongan itu dianggap perkara baik dan sihat di Malaysia.
Ini dia empat perangai Mat Salleh yang doktor tersebut senaraikan:
1) Mat Salleh tidak suka makan telur atau telur kuning
Menurut Dr Onn, Mat Salleh takut nak makan telur atau mereka akan membuang bahagian kuning telur kerana percaya bahagian tersebut kononnya banyak kolesterol. Beliau juga mengatakan bahawa amalan membuang kuning telur itu membazir.
"Orang Malaysia atau bangsa kita tak perlu ikut perangai buruk Mat Salleh ini.
"Telur adalah baik untuk kesihatan. Telur banyak protein, banyak lemak berkhasiat dan banyak vitamin. Telur boleh makan sebiji, dua biji atau tiga biji pun tidak mengapa sehari. Jangan takut, jangan nak buang telur kuning," katanya.
2) Membeli makanan yang 'low fat'
Menurutnya, Mat Saleh berpendapat bahawa jika tidak makan makanan yang berlemak itu bermaksud tiada lemak di dalam badan mereka. Oleh sebab itu mereka membeli makanan yang 'low fat'.
Mereka juga percaya bahawa jika sesuatu makanan itu mempunyai lemak maka lemak itu akan masuk ke dalam saluran darah. Istilah ‘low fat’ ini adalah penipuan dan mitos syarikat pengeluar makanan.
"Kalau nak beli yogurt dan nak cari bahan tenusu, jangan cari yang ‘low fat’. Cari yang ‘full cream’ biasa pun tak mengapa.
"Sebabnya, kalau pihak industri keluarkan lemak, mereka terpaksa masukkan protein atau karbohidrat. Protein mahal dan susah nak dapat.
"Maka, mereka akan tambahkan karbohidrat atau gula saja. Bayar mahal tetapi banyak karbohidrat dan gula. Jadi, katakan tidak pada yogurt rendah lemak," jelasnya.
3) Mat Salleh tidak suka guna gigi makan buah-buahan
Dr Onn menjelaskan satu lagi perangai Mat Salleh yang tidak patut kita ikut adalah perangai Mat Salleh yang malas dan lebih suka membuat jus.
"Mat Salleh suka malas, suka buat jus buah-buahan, tak makan buah sampai habis jadi mereka lebih suka buat jus.
"Ada juga Mat Salleh yang suka kisar sayur-sayuran kononnya lebih sihat, buat smoothies dan campurkan dengan susu lalu mereka minum. Ini perangai malas," katanya lagi.
Tambahnya lagi, orang Malaysia perlu gunakan saja gigi anda dan kunyah. Inilah sebenarnya amalan yang lebih sihat.
4) Mat Salleh menggunakan ubat kumur
Menurut Dr Onn, perangai yang ke-empat ini agak kontroversi kerana mereka gemar menggunakan ubat kumur.
"Yang nombor empat ni agak kontroversi kerana mat saleh suka guna ubat kumur.
"Bagi mereka ubat kumur kononnya boleh membersihkan 99 jenis bakteria dalam mulut serta dapat mewangikan mulut.
"Tetapi benda ini tidak baik sebenarnya," katanya.
Dr Onn menjelaskan bahawa tidak elok untuk membunuh semua bakteria dalam mulut kerana bakteria mempunyai banyak fungsi.
Tak sangka benda ini salah.... Lepas ini bolehlah kita amalkan rutin yang betul...
Sumber: Say Seismik