[VIDEO] Kawan Liat Bayar Hutang? Ini Cara Nak Tuntut Guna Mahkamah, Tak Perlu Lawyer Pun!

GAYA HIDUP
May 17, 2023 - 01:54 PM


Korang ada tak pengalaman memberi pinjam wang kepada kawan atau saudara-mara lepas tu janji nak bayar tapi sehingga bertahun-tahun liat sangat dorang ni nak langsaikan hutang?

Jika ya, korang tahu tak sebenarnya ada cara untuk korang menuntut hutang tersebut di Mahkamah Tuntutan Kecil -- apatah lagi sekarang semua orang pun sedang 'struggle' menghadapi masalah ekonomi yang semakin mencabar.

Nak tahu macam mana untuk membuat tuntutan berkenaan dengan prosedur Mahkamah Tuntutan Kecil, jom ikuti perkongsian oleh agensi berita Malaysia iaitu BERNAMA ini :-

Apakah Itu Mahkamah Tuntutan Kecil?

  1. Diwujudkan untuk mendapatkan tuntutan di bawah RM5,000.00.
  2. Mempercepatkan proses/prosedur untuk menuntut kembali wang/barangan/bayaran dan/atau apa-apa hutang termasuk pelanggaran kontrak;
  3. Meringankan beban mahkamah dalam menyelesaikan tuntutan-tuntutan;
    Kos yang terlibat untuk isi dan failkan borang adalah RM20.00 sahaja.

Syarat-Syarat

Antara pra-syarat yang perlu dipatuhi sebelum memfailkan tuntutan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Tuntutan hendaklah tidak melebihi RM 5,000.00;
  2. Kehadiran peguam tidak diperlukan didalam tuntutan ini;
  3. Tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia; dan
  4. Tuntutan tersebut boleh difailkan terhadap mana-mana individu dan syarikat namun tuntutan hanya boleh dibuat oleh individu dan/atau warga rakyat Malaysia. Syarikat tidak dibenarkan untuk memfailkan tuntutan di Mahkamah Tuntutan Kecil.

Apakah Perkara-Perkara Yang Boleh Dituntut?

  1. Mendapatkan kembali hutang.
  2. Tuntutan barangan.
  3. Upah sesuatu perkhidmatan yang tak dibayar.
  4. Sewa menyewa.
  5. Tuntutan atas barangan yang rosak.
  6. Tuntutan persembahan yang tidak dilaksanakan

Cara Tuntut Hutang Di Mahkamah Tuntutan Kecil

  1. Tuntutan (saman) ini boleh dibuat di mana-mana Mahkamah Majistret yang berhampiran. Pejabat Pendaftaran Mahkamah Majistret dibuka pada waktu pejabat.
  1. Bagi memulakan saman, plaintif dikehendaki mengisi Borang 198 yang telah disediakan di Mahkamah dalam [4] salinan dan menyatakan amaun dan butir-butir tuntutannya. Butir-butir itu mestilah menyatakan tarikh relevan dan bagaimana tuntutan itu telah berbangkit dan apakah asas tuntutan itu.Tandatangan di borang tersebut atau cap jari. Borang 198 tersebut boleh didapati secara percuma.
  1. Setelah menyiapkan borang, plaintif mestilah memfailkan borang dalam 4 salinan tersebut di Pejabat Pendaftaran bagi Mahkamah Majistret Kelas Dua. Plaintif mestilah membayar bayaran pemfailan sebanyak RM20.00. Pejabat Pendaftaran akan meletakkan meterai Mahkamah ke atas 4 salinan borang itu dan mengisikan tarikh pendengaran.
  2. Seterusnya, plaintif perlu membuat penyampaian Borang 198 kepada alamat terakhir defendan yang diketahui.
  1. Seeloknya Plaintif perlulah menyertakan satu salinan surat (“cover letter”) untuk diserahkan kepada Defendan bersama-sama dengan borang tersebut. Plaintif hendaklah mendapatkan tandatangan dan/atau cop defendan serta tarikh penyampaian tersebut dibuat. Hal ini akan membantu Plaintif dalam membuktikan penyerahan telah dibuat secara kediri dengan berjaya sekiranya Defendan akan menyangkal penyerahan/penyampaian (“denied service”) yang telah dibuat itu.
  2. Sekiranya defendan yang telah disampaikan secara sempurnanya dengan Borang 198 mempertikaikan tuntutan, defendan bolehlah menyampaikan pembelaannya dalam Borang 199 yang difailkan dalam empat salinan dalam empat belas hari selepas penyampaian tuntutan itu.
  3. Apabila peringkat di atas telah selesai plaintif/defendan dikehendaki hadir ke Mahkamah pada tarikh yang ditetapkan oleh Mahkamah.

Tips Dalam Memberi Hutang

- Sekiranya anda perlu memberi pinjam wang kepada rakan anda, lakukan dengan cara pindahan wang melalui transaksi online sahaja. Jangan berikan wang secara tunai.

- Kalau rakan tiada akaun bank, sediakan surat akuan terima wang dan minta rakan anda untuk menandatangani surat tersebut.

- Surat itu akan menjadi bukti penerimaan wang oleh rakan anda dan bukti penting dalam mahkamah kelak.

- Pastikan tempoh pembayaran balik dipersetujui terlebih dahulu sebelum wang diberikan.

- Masa bayaran dan cara bayaran dilakukan juga perlu ditetapkan terlebih dahulu dan semua terma perlu jelas supaya tidak menjadi pertikaian kelak di mahkamah.

VIDEO TIKTOK CARA TUNTUT HUTANG MENERUSI MAHKAMAH TUNTUTAN KECIL

@lawyergandhi Kawan tak bayar hutang? #tiktokguru #lawyergandhi #hutang #tahukahanda #bayarhutang #perjanjian ♬ Sure Thing (sped up) - Miguel
Destination: