World Tour Pertama Hyolyn Di Malaysia Berjaya, Konsert Penuh Dengan Kejutan!

GAYA HIDUP
July 01, 2019 - 12:40 PM


Membawakan 19 buah lagu, Hyolyn dengan jayanya mengembirakan ribuan peminatnya yang hadir ke konsert 2019 Hyolyn 1st World Tour [TRUE] di Menara PGRM Jumaat lalu.

Bermula seawal 2 petang, acara dimulakan dengan pengumuman 300 orang peminat bertuah yang diberikan peluang untuk bergambar bersama Hyolyn dan selepas itu, pihak penganjur kemudiannya mengumumkan yang sejumlah 50 poster bertandatangan telah diletakkan di kerusi secara rawak.

Hyolyn membuka persembahan dengan lagu ‘Paradise’ disambut lengan sorakan para peminat.

Selain membawakan lagu daripada album solo beliau, Hyolyn juga menyayikan beberapa buah lagu yang popular digunakan dalam drama korea seperti ‘You From The Star’ dan ‘ Master’s Sun’.

Dewan Wawasan PGRM kemudiannya gemuruh dengan sorakan apabila Hyolyn membawakan medley lagu SISTAR, kumpulannya sebelum ini.

Dipertengahan persembahan, Hyolyn membuat sebuah kejutan lagi dengan memanggil 5 orang peminatnya secara rawak untuk naik ke pentas dan Hyolyn membenarkan mereka merakam moment tersebut yang mana kemudian Hyolyn telah menyebut ‘Aku cinta padamu’ kepada peminatnya.