Aliff Aziz & Bella Astillah Cerai Talak Satu, Bella Dapat Hak Penjagaan Penuh
HIBURANPasangan selebriti kontroversi, Aliff Aziz, 33, dan Bella Astillah, 30, sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini, hari ini.
Aliff melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat, kira-kira jam 1.10 tengah hari. Lafaz itu kemudian disahkan mengikut hukum syarak oleh Wan Mohd Najib.
"Bahawa saya menceraikan isteri saya dengan talak satu mulai hari ini," lafaz Aliff.
Bella yang tampak tenang ketika lafaz diucapkan, bersetuju tidak menuntut mutaah dan nafkah iddah.
Pada prosiding itu, peguam syarie mewakili Bella, Azmi Mohd Rais berkata, perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak termasuk terma yang dipersetujui.
"Dalam perjanjian itu, ada terma di mana defendan hadir melafazkan cerai dan plaintif melepaskan hak mutaah dan nafkah iddah serta kedua-dua pihak tidak akan menuntut harta sepencarian.
"Aliff lepaskan hak penjagaan anak-anak kepada Bella sepenuhnya. Aiff juga tidak akan menuntut nusyuz sekiranya ada dan perjanjian itu ditandatangani hari ini," katanya.
Peguam mewakili Aliff, Hadi Salleh mengiyakan semua terma dan mengakui anak guamnya setuju melafazkan cerai.
Bella memfailkan perceraian daripada suami, Aliff pada 11 Mac lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.