“Bakal Ada Sequel?” - Drama Bersiri From Saga With Love Lari Dari Klise Drama Melayu

HIBURAN
February 21, 2024 - 11:30 AM


Drama siri original & eksklusif di platform penstriman Viu, From Saga With Love yang dibintangi pelakon hebat seperti Siti Khadijah Halim, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Ikmal Amry berjaya memikat hati dan pukau penonton untuk jatuh cinta dengan watak dan penceritaan drama berunsur romantik komedi dan juga persahabatan ini.

Rileklah.com cukup bertuah kerana diberi peluang untuk menemubual secara terus bersama Gabenor Wilayah Saga, Jepun iaitu Yoshinori Yamaguchi dan juga barisan pelakon drama bersiri From Saga With Love Siti Khadijah Halim, Ikmal Amry berserta penerbit Lina Tan.

Sesi Pertama: Temu Ramah bersama Gabenor Wilayah Saga, Yoshinori Yamaguchi

From Saga With Love dari tajuknya sudah jelas, lokasi penggambaran utama drama ini adalah di Wilayah Saga, Jepun. Menurut Gabenor Wilayah Saga Yoshinori Yamaguchi, Saga memang sesuai untuk dijadikan lokasi penggambaran kerana atas beberapa faktor.

Faktor utama adalah kecantikan alam dan budaya di wilayah Saga itu sendiri sekaligus mampu menonjolkan lagi elemen-elemen Jepun. Tuan Gabenor Yamaguchi turut berharap, dengan sambutan hangat drama From Saga With Love dapat menarik lebih ramai lagi rakyat Malaysia untuk datang melancong ke Wilayah Saga.

Beliau turut menyatakan terdapat banyak lagi lokasi menarik yang ada di wilayah Saga kerana siri From Saga With Love hanya memaparkan satu pertiga keindahan sebenar wilayah tersebut. 

Selain itu, ada tarikan terbaharu menanti pelancong iaitu Saga Arena dan tapak perkhemahan Hokuzan buat mereka yang gemarkan aktiviti luar. Makanan istimewa di Saga pula sudah tentunya Saga-gyu, wagyu versi tersendiri wilayah Saga.

Harapan Tuan Yamaguchi untuk sequel From Saga With Love adalah untuk mempromosikan lagi tempat-tempat menarik di Saga seperti The Golden Tea Room & Yutoku Inari Shrine demi menonjolkan lagi keindahan wilayah Saga sekaligus merancakkan jumlah pelancong khususnya dari Malaysia.

Sesi Kedua: Temu Ramah Bersama Pelakon dan Penerbit From Saga With Love

Siti dan Ikmal turut berkongsi pengalaman mereka dalam menjayakan watak utama From Saga With Love iaitu Karma dan Sham. Siti menjelaskan drama ini membawa unsur kehidupan dari segenap aspek seperti cinta, keluarga, persahabatan dan juga impian. Unsur-unsur tersebut menjadi tarikan utama mengapa From Saga with Love berjaya menambat hati seisi keluarga penonton Malaysia.

Bagi Ikmal Amry pula, tiada sebarang cabaran dalam menjayakan watak Sham kerana watak tersebut merupakan watak impiannya. Melakonkan watak Sham, Ikmal dapat mempelajari bahasa Jepun dan juga seni tembikar di wilayah saga.

Untuk Siti, dia yang sememangnya meminati budaya Jepun dan peluang untuk bekerja di wilayah Saga memang sukar untuk dilepaskan. Cabaran yang dihadapi barisan pelakon sudah tentunya dari segi bahasa dan juga cuba menyelami budaya dan adab setempat penduduk Saga. 

Ikmal dan Siti turut berkongsi salah satu memori yang sukar untuk dilupakan bagi mereka adalah penghargaan tinggi dan layanan mesra dari penduduk setempat. Bukan sahaja terpukau dengan keindahan wilayah Saga, bahkan budi pekerti rakyat Saga menawan hati mereka.

Selain itu, menurut penerbit Lina Tan menjelaskan wilayah Saga dipilih sebagai lokasi penggambaran utama kerana tarikan unik, budaya dan keindahan alam di sana. Pada pandangan pertama melihat lokasi penggambaran, tercetusnya idea untuk menghasilkan From Saga With Love. Drama ini turut ingin menampilkan sisi visual yang lebih segar buat penonton Malaysia yang sering didedahkan dengan kecanggihan bandar Tokyo atau lebih tepat Shibuya. 

Lina menambah, kejayaan drama siri From Saga With Love ini adalah kerana watak-watak yang ditampilkan memang hidup dan diperankan dengan baik oleh barisan pelakon. Bukan sahaja sisi visual yang segar, bahkan jalan penceritaan yang cemerlang dan juga faktor keindahan landskap wilayah Saga jadi faktor dalam kejayaan From Saga With Love.

Lina turut mendedahkan sedikit sebanyak sekuel From Saga With Love 2 yang bakal berkisarkan tentang hubungan cinta dua watak utama iaitu Sham dan Karma. Dalam musim kedua, kisah cinta dan persahabatan mereka mungkin bakal diuji. Mereka bertemu di Saga, dan mungkin akan berakhir di Saga? Jadi nantikan From Saga With Love 2!

Destination: