Blockout2024: Ibu Bapa Diugut Bunuh, Naim Daniel Buat Laporan Polis
HIBURANKempen Blockout2024 yang sedang hangat digunakan di pelbagai platform media sosial pastinya memberi kesan kepada artis dan pempengaruh yang kurang berkongsi tentang keadaan di Palestin atau bekerjasama dengan jenama Pro-Israel.
Namun begitu, kempen yang awalnya bertujuan untuk menyekat atau 'block' akaun media sosial artis dan pempengaruh bertukar menjadi medan hembusan kata-kata kesat atau makian.
Antara mangsa kepada kata-kata makian atau hentaman tersebut adalah penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel. Naim sebelum ini ada memuat naik satu hantaran di platform X sebagai peringatan buat pengguna media sosial untuk tidak berlebihan dalam mengeluarkan kenyataan.
Walau bagaimanapun, niatnya itu disalah tafsir sehingga dia dilabel sebagai kafir bagi sesetengah pihak. Malah, apa yang lebih teruk adalah ibu bapanya turut dihina dan diugut bunuh.
Risau dengan keselamatan ibu bapanya, Naim bertindak pergi ke Balai Polis Semenyih, Selangor semalam bagi membuat laporan polis terhadap pengguna media sosial yang mengeluarkan komen tersebut.
Naim kemudiannya dipanggil pegawai penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan untuk diambil keterangan.
“Komen individu itu sangat melampau. Saya tidak boleh berdiam diri apatah lagi komen itu mengancam keselamatan saya dan keluarga.
“Saya dimaklumkan oleh polis yang mereka sudah dapat semua maklumat individu berkenaan. Jadi, saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurut penyanyi yang berusia 27 tahun itu, komen yang dilemparkan telah lari dari objektif asal ciapannya di aplikasi X berkaitan Blockout2024.
“Komen mereka sangat merepek dan tidak ada kena mengena langsung dengan apa yang saya cakap di X.
“Hanya kerana saya berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, sehingga perlu menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan, saya berpesan supaya tidak bersifat ‘Ghuluw’ atau melampau sehingga mampu mewujudkan cabang dosa dalam masa kita cuba melakukan sesuatu atas nama kebaikan.
“Pada akhirnya saya dikatakan ‘terpaling’. Malah siap ada mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya,” katanya.
Dalam sebuah hantaran di Instagram, Naim juga mempersoalkan kewajaran netizen menulis komen-komen negatif terhadap beberapa artis dan pempengaruh susulan kempen Blockout2024.
“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?
“Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam keluarga yang penyayang, menerapkan nilai Islam dan empati sesama manusia, hubungan sesama alam juga manusia. Saya dididik penuh hikmah dan sopan oleh kedua orang tua saya yang juga beragama Islam.
“Saya tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman saudara sedarah seagama di sana.
“Malah saya juga tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah dari jenama yang menyokong rejim laknatullah,” jelasnya.
Sumber: Instagram & BuzzKini