Buka Aib Sendiri, Shuib Mengaku Pernah Ketagih Main Judi
HIBURANPelakon dan pelawak, Shuib atau Shahmira Muhamad, 40, telah membuat pendedahan yang mengejutkan di mana dirinya pernah terjebak dalam kegiatan perjudian sehingga membawa kepada ketagihan.
Menerusi satu podcast di Youtube Channel dirinya sendiri, Shuib mendedahkan yang dia sanggup membayar RM150 sekali main ketika berjudi. Kata Shuib, ketagihan yang melampau terhadap judi pernah menyebabkan dia kerugian sehingga puluhan ribu ringgit.
“Banyak duit yang aku habiskan untuk main permainan itu dan aku pernah bertaruh RM150 setiap pusingan.
“Dalam seminit sebenarnya boleh main sebanyak tiga hingga empat pusingan. Jadi, kau bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam satu minit.
“Bila aku main dulu, banyak aku rugi sampai tak terkira. Aku dulu punyalah tak ada duit, sampai kering langsung,” katanya.
Lebih mengejutkan, Shuib juga mendedahkan dia pernah dikepung oleh beberapa orang gangster selepas memenangi wang taruhan sebanyak RM68,000.
“Masa tu aku main dan menang RM68,000. Bila dah menang tiba-tiba tuan kedai macam tak nak bagi duit itu seolah dia anggap aku menipu.
“Dia siap call berapa orang gangster datang ke kedai, ada dalam enam orang masa itu. Sampai saja mereka terus panggil ke bilik belakang terus tanya macam-macam.
“Bila aku dengar dia cakap macam tu terus aku cakap, ‘Kalau abang dah cakap macam tu maksudnya abang memang tka bagi duit tu. Tak apalah saya gerak,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib berkata disebabkan kejadian itu juga dia bertekad tinggalkan tabiat main judi dan bersyukur rezekinya juga semakin banyak.
“Perbezaan dia MashaAllah, Allah nak bagi. Kadang-kadang kau rasa kau berjudi tu kau puas, bila kau menang kau gempak. Tapi kehidupan kau masih susah, bila aku berhenti, duit bukan kata boleh simpan, malah makin banyak,” katanya.
Malah, Shuib juga meluahkan rasa syukur dan berkata banyak rezeki yang dia dapat seperti memulakan perniagaan Bubblebee dan lain-lain selepas dia berhenti bermain judi.
Sumber: Instagram & Astro Gempak