Dolla Beri Respons Soal Pengunduran Syasya, Pihak Pengurusan Maklum Syasya Masih Artis Universal Music
HIBURANKeputusan Syasya Rizal untuk megundurkan diri dari kumpulan Dolla pastinya membuatkan ramai peminat sedih. Lagi-lagi apabila salah satu sebab pengunduran Syasya adalah kerana dia mahu berkahwin.
Terbaru, Anggota kumpulan Dolla tampil memberikan respon mengenai pengunduran bekas ahli kumpulannya, Syasya baru-baru ini.
Dolla yang kini dianggotai Tabby, Sabronzo dan Angel itu meluahkan rasa gembira dan menghormati keputusan Syasya mendirikan rumah tangga selepas pengunduran tersebut.
Menurut Tabby, dia turut mengakui berasa sedih dengan keputusan pengunduran Syasya itu namun tetap saling menyokong antara satu sama lain.
“Kami bertiga gembira untuk Syasya dan keputusannya untuk berkahwin. Kami hormat dengan keputusan Syasya.
“Pada masa sama, kami juga ada perasaan sedih kerana perubahan ini tetapi kami sebenarnya masih bercakap dan berkawan.
“Kami gembira bersama dan saling menyokong antara satu sama lain,” ujar Dolla.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim memaklumkan kontrak Syasya bersama Universal Music Malaysia masih belum tamat.
“Kontrak Syasya bersama Universal Music belum tamat.
“Kami belum tahu perkara itu (lagu solo) kerana ia bergantung kepada perbincangan dengan Syasya mengenai perancangan akan datang.
“Buat masa ini, itulah keputusannya dan kami menghormatinya,” ujarnya.
Tambah Kim Lim, dia menegaskan pihak Universal Music Malaysia tidak mengguna pakai kontrak yang menghalang untuk mana-mana artis naungannya mendirikan rumah tangga.
“Kontrak yang menyatakan tidak boleh berkahwin tidak diguna pakai di Malaysia.
“Saya selalu berkata kontrak adalah kontrak, mereka juga manusia biasa. Kita juga mempunyai budaya berbeza,” jelasnya.
Pihak Universal Music Malaysia juga menyatakan pengumuman pengunduran Syasya dibuat sebelum hari raya Aidilfitri disebabkan tiada masa yang sesuai.
Terdahulu, Syasya selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya pada Sabtu lalu. Berita pernikahan tersebut menjadi bualan ramai apabila keputusan tersebut dibuat selepas Syasya berundur daripada kumpulan Dolla dua minggu lalu.
Untuk rekod, kumpulan Dolla ditubuhkan pada 2019 dengan empat ahli tetap iaitu Angel, Sabrozo, Tabby dan Syasya.
Sumber: Xtra