Gagal Lunaskan 'Friendly Loan', Mahkamah Arah Jovian Bayar Hutang RM10 Juta Kepada Dua Syarikat

HIBURAN
July 12, 2024 - 02:49 PM


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini telah mengarahkan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie untuk membayar RM10 juta kepada dua syarikat.  

Jovian diarahkan berbuat demikian susulan kes saman yang melibatkan pinjaman persahabatan yang dimeterainya. 

Menurut sumber, Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin membuat keputusan itu pada 2 dan 4 April selepas membenarkan permohonan Bina Pragmatik Sdn Berhad dan Cekap Air Sdn Bhd untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Jovian.

Untuk rekod, penghakiman terus diperoleh apabila mahkamah memutuskan kes melalui hujahan bertulis tanpa perbicaraan penuh dan memanggil saksi. 

Tetuan Saiful, Roger & Co yang mewakili kedua-dua syarikat tersebut telah mengesahkan perkara berkenaan. 

Bagaimanapun, Jovian telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu pada 30 April lalu.

Beliau disaman secara berasingan oleh kedua-dua syarikat pada 16 Mei 2023 selepas didakwa gagal membayar semula wang RM5 juta yang dipinjamkan atas dasar pinjaman persahabatan.

Tuntutan dibuat oleh kenalan kepada Pengarah Cekap Air iaitu Yong Zhen Wei dan Pengarah Bina Pragmatik iaitu Azirul Salihin.

Difahamkan, Cekap Air meminjamkan duit sebanyak RM5 juta kepada Jovian atas permintaan lisan. Manakala, Bina Pragmatik juga meminjamkan amaun yang sama dengan memindahkan wang ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Kedua-dua plaintif berkata pinjaman persahabatan itu perlu dilunaskan dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Perjanjian dilakukan secara lisan dan kasual kerana peminjam dan Jovian adalah kenalan dan tiada sebab untuk mereka meragui Jovian kerana dia mempunyai perniagaan lain.

Bagaimanapun, kedua-dua plaintif mendakwa defendan telah memungkiri perjanjian pinjaman itu dan sehingga kini gagal membayar semula sehingga mereka mengalami kerugian. 

 

Sumber: Harian Metro

Destination: