Gunakan Teknologi AI, Melly Goeslaw ‘Duet’ Dengan Arwah Nike Ardilla

HIBURAN
December 11, 2023 - 04:13 PM


Penyanyi terkenal dari Indonesia, Melly Goeslaw merupakan antara penyanyi dari negara jiran yang diminati masyarakat di Malaysia. Baru-baru ini, Melly telah melancarkan lagu terbaharunya yang bertajuk ‘Bertemu Kembali’.

Namun, ada kelainan dalam karya terbaru Melly Goeslaw kali ini. Ini kerana, lagu baru ini memerlukan dia menggunakan teknologi canggih AI (Artificial Intelligence) kerana melibatkan penyanyi yang telah lama meninggal dunia iaitu Nike Ardilla.

Buat yang tak tahu, Melly Goeslaw dan arwah Nike Ardilla adalah sahabat baik yang bersama-sama bergerak dalam dunia hiburan sejak usia yang muda. 

Lagu baru Melly iaitu 'Bertemu Kembali' adalah ciptaan Melly sendiri bersama Dadang S Manaf yang menggabungkan lagu ‘Duka Pasti Berlalu’ nyanyian Nike Ardilla.

Menerusi laman YouTube Musica Studios, muzik video rasmi lagu tersebut telah dimuat naik pada 6 Disember lalu dan wajah Nike Ardilla dapat dilihat dalam video klip tersebut. 

Walaupun hanya menggunakan teknologi AI, namun wajah dan suara Nike dilihat hampir serupa seperti realiti dalam muzik video tersebut.

Menerusi ruangan kapsyen di muzik video tersebut, Melly menceritakan kisah latar belakangnya bersama arwah rakan karibnya, Nike.

Melly juga menjelaskan bahawa lagu ini dicipta khas untuk menceritakan semula angan-angan mereka berdua pada suatu ketika dahulu yang mahu berkahwin dengan pasangan pilihan masing-masing dalam tempoh yang sama.

“Lagu ‘Bertemu Kembali’ itu sebenarnya cerita tentang perbualan saya bersama Ardilla tentang perkahwinan. Tapi setelah saya akhirnya bertemu dengan jodoh saya, Nike telah ‘pergi’ dulu dan angan-angan kami di masa lalu tidak pernah menjadi kenyataan,” kata Melly.

Dalam pada itu, Melly juga berharap agar lagu terbaharunya ini dapat mengubati kerinduan para peminat Nike Ardilla.

“Semoga lagu ini dapat mengubati kerinduan peminat Nike, baik yang sudah lama mahupun yang baru. Meskipun ini menggunakan vokal almarhumah dari lagu terdahulu, namun selepas dikemaskan dengan gubahan baru, ia boleh menjadi karya baru,” ujar Melly.

Mengenai individu yang 'menjadi' Nike Ardilla, ia adalah seorang wanita yang hampir serupa dengan arwah Nike Ardilla. Wanita tersebut adalah seorang rakyat Indonesia bernama Juwita Wina Pohan dan bertindak sebagai ‘stand-in’ model dalam muzik video bersama Melly Goeslaw.

Nike Ardilla atau nama sebenarnya Raden Rara Nike Ratnadilla telah meninggal dunia pada 19 Mac 1995 ketika berusia 19 tahun. Penyanyi legenda Indonesia ini dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan kereta di jalan raya dan disahkan maut di lokasi kejadian.

 

Sumber: The Rakyat Post

Destination: