"Haram Itu Bukan Saja Pada Arak & B4bi"- Penerbit Kecewa Drama Khunsa Ditonton Secara Haram
HIBURAN"Saya tak nak cerita banyak. Saya cuma nak cakap, saya tak halalkan dunia akhirat bagi sesiapa yang langsung takda rasa bersalah mencuri hasil keringat kami tanpa izin."
Itulah luahan kekecewaan pengarah dan penerbit drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin apabila drama karya dan arahannya, Khunsa, banyak ditayangkan secara haram di media sosial Telegram.
Menerusi hantaran di Instagram, pemilik rumah produksi Radius One Sdn. Bhd. itu berkata, dia tidak akan sesekali halalkan ‘pencuri’ yang telah mencuri hasil keringatnya bersama produksi apabila memuat naik drama Khunsa melalui saluran-saluran haram tanpa keizinannya.
“Saya masih lagi ada di lokasi (penggambaran), berpanas dan berhujan dari pagi hingga ke malam.
“Menahan lapar dan haus sehingga ke hari ini. Pada waktu ini (ketika luahan ini ditulis), saya dan pasukan masih lagi gigih menyiapakan Khunsa demi menghibur dan memberi ilmu melalui hiburan.
“Peluh kami pun belum kering lagi. Tapi terang-terang bila membaca komen netizen tanpa bersalah dan bangga, mencadangkan orang lain untuk menonton hasil keringat kami tanpa rasa bersalah," katanya kecewa.
Dalam pada itu, Shahrulezad atau mesra disapa Ijad turut mengingatkan orang ramai tentang hukum halal dan haram, selain kesalahan daripada sudut undang-undang jika mengedar harta intelek milik orang lain tanpa izin.
“Haram itu bukan sahaja pada arak dan babi sahaja. Memiliki, menonton atau mengedar harta intelek milik orang lain tanpa izin juga haram. Hukumnya berdosa.
“Tak percaya? Sila rujuk pada mana-mana ustaz yang bertauliah. Apa hukumnya menonton sesuatu yang tidak mendapat keizinan tuan punya harta intelek ini.
“Tolong kalian jangan memuji dan memuja kami, tapi dalam masa sama menikam kami dari belakang,” katanya.
Menurut Shahrulezad lagi, drama berkenaan boleh ditonton di saluran Astro Ria dan Astro On The Go.
"Ia juga boleh menonton di Sooka Apps dengan bayaran serendah RM13 sebulan tanpa kontrak.
"Anda boleh tonton first few eps secara percuma. Kalau kalian rasa tak best cerita Khunsa ni korang tak payah bayar pun.
Saya lagi redha kalau kalian tak sudi tonton drama ni dari kalian dengan bangga memukul canang pada kawan kawan supaya menonton curi hasil karya tanpa rasa segan silu," katanya.
Drama Khunsa mula ditayangkan sejak 11 Mac lalu. Ia mengisahkan tentang kelahiran seorang bayi di sebuah kampung yang diberi nama Che Khun yang lahir dengan dua alat kelamin (khunsa).
Bagaimanapun, bapanya tidak dapat menerima kenyataan tersebut dan membesarkan anaknya sebagai seorang lelaki, walaupun nalurinya lebih kepada perempuan.
Drama 28 episod itu diterajui barisan pelakon seperti Azhan Rani, Sherry Alhadad, Nadiah Aqilah, Lailah Nasir dan Zarina Zainoordin.
Sumber: Instagram