"Jual Tiket Tapi Tak Bayar Artis" - Jamal Abdillah Ambil Keputusan Tarik Diri Dari AJL38

HIBURAN
February 20, 2024 - 10:53 AM


Ketiadaan nama Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah dalam video promosi Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) telah mengundang tanda tanya kepada para peminat sedangkan lagu duetnya bersama Wany Hasrita, Kucuma dipertandingkan.

Persoalan itu terjawab apabila laporan dari sebuah media menyatakan bahawa penyanyi berusia 65 tahun itu telah mengesahkan pengundurannya daripada pertandingan tersebut.

Difahamkan, pengundurannya dari pertandingan tersebut adalah disebabkan tidak berpuas hati terhadap pihak produksi yang tidak memberi bayaran kepada artis yang bertanding sedangkan mereka menjual tiket kepada penonton yang ingin menyaksikan AJL38. 

Beliau menyatakan rasa kurang senang dengan perkara itu apatah lagi pihak produksi mengaut keuntungan menerusi jualan tiket selain mendapat tajaan. Selain itu, beliau juga terikat dengan acara lain yang telah dipersetujui lebih awal.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang jualan tiket dan membuat keputusan menarik diri kira-kira sebulan lalu.

“Saya juga sudah berbincang dengan syarikat penerbit lagu dan mereka juga seolah-olah tidak mahu keluarkan bayaran. Jadi saya rasa malas untuk berbincang lanjut dan lebih baik tarik diri.” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berharap pihak produksi akan membuka mata tentang isu tersebut dan tidak mengambil mudah nasib artis baharu. Ini kerana, sekiranya dia tidak bertindak menarik diri, perkara itu akan terus berlarutan dan nasib penyanyi generasi baharu tidak akan terbela.

“Isu ini bukan soal duit semata-mata, saya ada pendapatan lain juga. Tetapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk memperjuangkan nasib artis muda. Kalau saya tak buat perkara ini akan terus berlarutan.

“Setidak-tidaknya keluarkanlah sedikit bayaran kerana produksi menjual tiket dan mereka terima tajaan berjuta ringgit.

“Artis baru mungkin tidak berani bersuara, jadi biar saya yang buat. Kalau produksi nak ban saya pun tidak ada masalah. Bukan senang untuk penyanyi macam kami ini mahu cari rezeki,” ujarnya.

Info terbaru mengenai pengganti Jamal, pihak FMC Music telah mencadangkan nama penyanyi Afieq Shazwan sebagai pengganti kepada Jamal untuk berduet bersama Wany Hasrita dipentas akhir AJL nanti.

 

Sumber: Mstar

Destination: