Langgar Kontrak, Michael Ang Dituntut Bayar Semula RM500,000
HIBURANPenerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang dituntut membayar semula RM500,000 kepada Armani Entertainment Sdn Bhd selepas didakwa gagal menunaikan perjanjian yang dimeterai tiga tahun lalu.
Dalam satu sidang media, Armani Entertainment menerusi CEO syarikat itu, Datuk KK Chua berkata pihaknya sudah mengeluarkan wang RM500 ribu kepada Michael Ang yang dipecahkan kepada RM250 ribu dalam bentuk tunai dan bakinya dalam bentuk sumbangan untuk renovasi rumah.
“Kami sudah membayar RM250,000 tunai, manakala RM250,000 lagi adalah kos renovasi rumahnya di Desa Park, Kuala Lumpur yang dibayar menerusi program Fix It Til You Make It," katanya.
Antara isi kandungan kontrak yang dipersetujui sejak 2021 itu adalah Michael perlu menggunakan sekurang kurangnya 4 bakat daripada Armani Entertainment untuk menjadi watak utama dan enam lagi sebagai watak pembantu dalam drama yang diterbitkan oleh syarikat sutradara tersebut.
Difahamkan, Michael turut terikat dengan perjanjian untuk memasukkan lagu dari Armani Entertainment dalam runut bunyi drama terbitannya.
“Bagaimanapun Michael hanya melaksanakan tiga tugas yang terkandung dalam kontrak iaitu memasukkan sebuah runut bunyi, memberi watak pelakon pembantu dan menjadi juri di enam lokasi.
“Perjanjian sudah ditandatangani pada 1 Oktober 2021 tetapi sehingga kini, Michael tidak memenuhi tanggungjawab yang dijanjikannya,” katanya.
Menurut Datuk KK Chua lagi, Michael juga mengesahkan bahawa dia akan membantu artis dari syarikat tersebut menyertai program realiti Gegar Vaganza dan Big Stage. Walaupun ada seorang artis yang menyertai program realiti, namun artis itu bukan menyertai program tersebut melalui Michael Ang.
“Walaupun salah satu artis kami iaitu Coex terpilih untuk menyertai Big Stage 2023, tetapi saya perlu tegaskan itu bukanlah daripada usaha Michael,” katanya lagi.
Tambah KK Chua, pihaknya sudah menghubungi Michael selepas kontrak pertama gagal dipenuhi dan lelaki berusia 48 tahun itu menandatangani perjanjian kedua pada 2 September 2022.
“Disebabkan dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab dalam kontrak pertama, kami minta dia pulangkan semula wang dan Michael enggan berbuat demikian.
“Selepas memberi peluang kedua, pengarah tersebut masih gagal melaksanakan tanggungjawab yang dijanjikan seperti termaktub dalam kontrak.
“Jadi setelah mengambil kira pelbagai faktor, pihak kami telah memfailkan saman kepada Michael. Saya berharap pengalaman malang yang menimpa pihak Armani Entertainment boleh dijadikan peringatan untuk orang di luar sana supaya lebih berhati-hati,” ujarnya.
Dalam sidang media itu, peguam KK Chua, Lim Zi Hwei memaklumkan sebutan kes pertama akan diadakan pada 5 Ogos depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Michael Ang menerusi instagramnya menyerahkan perkara itu kepada peguamnya dan enggan mengulas lebih lanjut.
Sumber: Instagram, Kosmo & Sinar Harian