"Mereka Cerdik" - PM Thailand Dakwa Singapura Bayar Taylor Swift Agar Tidak Buat Konsert Di Negara Asean Lain

HIBURAN
February 19, 2024 - 12:02 PM


Perdana Menteri Thailand iaitu Srettha Thavisin mendedahkan penyanyi Taylor Swift mempunyai perjanjian yang menyatakan bahawa penyanyi itu tidak boleh menganjurkan konsert jelajah The Eras Tour di negara Asia Tenggara lain kecuali Singapura.

Memetik laporan Sky News, menerusi Forum iBusiness 2024 di Bangkok, perjanjian yang didakwa ditandatangani Singapura dan bintang pop itu menyebabkan peminat di seluruh Thailand dan negara-negara ASEAN lain kecewa.

Bercakap dalam satu acara perniagaan di Bangkok, Srettha mendedahkan bahawa penganjur acara, AEG Presents telah memberitahunya tentang pengaturan itu.

Tambah beliau, Singapura telah mencadangkan pakej kewangan antara AS$2 juta (RM9.56 juta) hingga AS$3 juta (RM14.3 juta) bagi setiap pertunjukan, bergantung kepada tahap eksklusif acara itu.

Kata Srettha, biarpun penganjuran konsert penyanyi tersebut dikatakan agak mahal namun kerajaan Thailand juga sanggup mengeluarkan wang yang banyak kerana ia disifatkan berbaloi untuk menjana ekonomi negara.

"Kerajaan Singapura cerdik. Sekiranya dia (Taylor) datang ke Thailand saya tahu bukan murah untuk menganjurkan konsert tersebut di sini.

"Tetapi saya percaya kami boleh menarik lebih banyak penaja dan pelancong ke Thailand walaupun terpaksa mengeluarkan subsidi sebanyak 500 juta baht (RM66.8 juta) namun ia pasti berbaloi," katanya.

Dalam pada itu, Srettha turut memberitahu kerajaan sedang berusaha untuk membawa lebih ramai artis gred 'A-list' ke Thailand sekitar akhir tahun ini.

Sebelum ini, Taylor dijadual mengadakan konsert di Stadium Nasional, Singapura pada 2, 3 dan 4 Mac depan namun ia ditambah tiga hari lagi dari 7 hingga 9 Mac depan.

Ini menjadikan persembahan penyanyi lagu Blank Space itu di Kota Singa kepada enam hari menyamai konsert Coldplay yang berlangsung di Singapura pada Januari lalu.

Singapura menjadi satu-satunya lokasi konsert The Eras Tour di Asia Tenggara dan perhentian kedua di Asia selepas Tokyo, Jepun.

 

Kredit: X, Kosmo & Mstar

Destination: