Tiada Lagi Lagu-Lagu Taylor Swift, Olivia Rodrigo, The Weeknd & Artis-Artis UMG Di Platform TikTok
HIBURANBerita buruk untuk pengguna TikTok yang sering menggunakan lagu-lagu dari artis-artis ternama seperti Taylor Swift, Drake, dan Olivia Rodrigo kerana lagu-lagu mereka akan rasmi hilang dari TikTok.
Berdasarkan sumber dari Kompas Tekno, deretan lagu-lagu popular Taylor Swift, Drake, Olivia Rodrigo dan artis-artis dibawah naungan Universal Music Group (UMG) sudah mula dihapuskan dan tidak boleh lagi digunakan di TikTok.
Sebelum ini, pengguna TikTok boleh memuat naik video yang menggunakan muzik latar (background music) dari artis-artis UMG. Namun kini, video yang menggunakan muzik artis-artis tersebut telah dibisukan (muted).
Kini, pengguna akan melihat notis pemberitahuan "sound removed due to copyright restriction" (suara dihapus kerana pembatasan hak cipta) di bawah video. Pengguna juga disarankan untuk mengganti lagu tersebut dengan penyanyi lain yang bukan berada di bawah naungan UMG.
Punca lagu-lagu dari artis UMG dipadamkan di TikTok adalah kerana isu perlesenan. Selama ini, UMG dan TikTok memiliki perjanjian lesen di mana muzik dari artis UMG boleh digunakan di TikTok. Namun perjanjian tersebut telah pun tamat pada 31 Januari.
Malangnya, perbincangan untuk memanjangkan perjanjian lesen yang baru antara UMG dan TikTok ini tidak berakhir dengan kata sepakat. Hal tersebut menyebabkan Universal Music Group selaku label telah menarik katalog muzik artis-artisnya dari platform tersebut.
Menurut laporan, faktor kegagalan perbincangan di antara dua syarikat tersebut disebabkan isu seperti pembayaran artis, AI generatif, dan keselamatan online.
Pada hari Selasa lalu, UMG menuduh platform video milik ByteDance itu untuk menerima sebuah perjanjian yang mana bagi UMG sendiri ia adalah perjanjian yang buruk. Menurut UMG, dalam rundingan tersebut, TikTok tidak meredakan kebimbangan mereka mengenai pampasan yang sesuai untuk artis dan penulis lagu dan perlindungan muzik yang dijana AI.
TikTok juga dianggap tidak dapat mencari penyelesaian kepada kebimbangan UMG tentang keselamatan dalam talian di platform, terutamanya melindungi artis daripada 'ucapan kebencian, ketaksuban, ugutan dan gangguan'.
Kenyataan dari UMG itu dibalas oleh pihak TikTok yang mengatakan bahawa mereka sedih dan kecewa kerana UMG telah memilih untuk meninggalkan sokongan kuat TikTok yang mempunyai lebih daripada satu bilion pengguna.
Malah, menurut TikTok, platformnya adalah cara promosi yang percuma untuk artis. TikTok turut menuduh label UMG mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan kepentingan artis dan penulis lagu UMG.
"Jelas sekali, tindakan Universal yang mementingkan diri sendiri bukanlah untuk kepentingan artis, penulis lagu dan peminat," tulis TikTok.
Sumber: Kompas Tekno