"Opportunist Yang Hebat" - Netizen Puji Penyedia Perkhidmatan Bas Yang Bawa ‘Swifties’ Ke Singapura Sehingga Berjaya Peroleh RM30,000 Sehari

HIBURAN
March 11, 2024 - 05:13 PM


Siapa sangka perkhidmatan membawa sekumpulan peminat kepada seorang artis ke luar negara mampu memberikan pendapatan yang lumayan. Hal ini terjadi kepada penyedia perkhidmatan bas yang dikenali sebagai Amirul Sufi.

Memandangkan penganjuran konsert siri jelajah Taylor Swift iaitu The Eras Tour itu hanya berlangsung di Singapura, Amirul bijak mengambil peluang dengan mengadakan menyediakan perkhidmatan bas bagi membawa peminat Swift ke negara tersebut.

Menurut Amirul, hasil rombongan ke Eras Tour di Singapura itu membolehkannya memperolehi pendapatan mencecah RM30,000 sehari dan jumlah itu diperoleh hasil daripada perkhidmatan tiga bas yang disediakannya untuk rombongan satu hari ke konsert berkenaan.

“Kalau untuk The Eras Tour ini, dapat dalam RM25,000 ke RM30,000 sehari.

“Tapi ini sebenarnya bergantung kepada permintaan. Kalau kata demand masih ada, kita boleh tambah lagi bas dan kita punya margin (keuntungan) boleh lebih lagi,” katanya dalam satu video temu bual bersama BFM.  

Amirul berkata, pendapatan yang diperolehi itu membolehkannya mendapat untung mencecah RM6,000 untuk tempoh sehari.

Mengulas mengenai modal diperlukan bagi menyediakan perkhidmatan itu, beliau berkata, jumlah diperlukan untuk sebuah bas adalah sekitar RM4,000 dan nilai itu meliputi kos minyak, upah pemandu dan penyelenggaraan bas.

Dalam pada itu, Amirul berkata, antara cabaran terbesar dalam menyediakan perkhidmatan itu adalah bagi memastikan semua pelanggan mendapat pengalaman perjalanan yang terbaik.

Tanpa aspek tersebut, beliau berkata, adalah sukar untuknya membina keyakinan dalam kalangan pelanggan.

Jelasnya, penganjur rombongan juga perlu berdepan dengan isu risiko seperti penipuan tiket, hotel dan juga penyediaan kenderaan pengangkutan itu sendiri.

“Tanpa perkhidmatan yang baik, kita tak boleh dapat pelanggan.

"Kita punya base (pelanggan) tak besar, jadi bila kita nak buat satu rombongan itu, nak bina kepercayaan sangat sukar,” ujarnya. 

Pendedahan Amirul ini mendapat pujian ramai yang rata-ratanya memuji kebijakannya mengambil peluang dikala ramai yang mengeluh bahawa Malaysia terlepas peluang menaikkan ekonomi kerana gagal membawa Taylor Swift ke negara ini.

 

Sumber: BFM

Destination: