Penyanyi Rap AS Macklemore Cipta Lagu Untuk Palestin, Diilham Dari Kisah Kanak-Kanak Yang Dibunuh Zionis

HIBURAN
May 09, 2024 - 01:41 PM


Penyanyi rap dari Amerika Syarikat, Macklemore telah menerbitkan lagu baharu berjudul Hind’s Hall sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan memerdekakan Palestin.

Melalui lagu itu juga, artis terbabit menyelar Presiden Joe Biden, dan pada masa sama menyatakan sokongan penuh terhadap bantahan dilakukan pelajar pro-Palestin yang berlangsung di kampus-kampus seluruh AS.

Judul lagu Hind’s Hall itu juga mempunyai kaitan dengan kesengsaraan dialami penduduk Gaza.

Ia merujuk kepada tindakan aktivis pro-Palestin menamakan semula Hamilton Hall di Universiti Columbia, New York, sebagai Dewan Hind sebagai penghormatan kepada seorang kanak-kanak Palestin yang bernama Hind Rajab.

Hind Rajab adalah seorang kanak-kanak Palestin berusia 6 tahun yang dibunuh oleh tentera Israel di Gaza ketika beliau sedang menunggu mendapatkan bantuan, menurut sumber. 

Antara lirik yang terkandung dalam lagu tersebut adalah: "Masalahnya bukan mengenai protes, tapi apa yang mereka proteskan. Ia bertentangan dengan apa yang dibiayai negara kita."  

Lagu tersebut telah dimuat naik ke akaun media sosial penyanyi rap berkenaan pada Isnin (6 Mei) diiringi rakaman video yang memaparkan sebahagian daripada bantahan terhadap Washington dan Israel yang berlangsung. 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by BEN (@macklemore)

Walaupun Hind’s Hall belum dimuat naik di platform penstriman setakat ini, video lagu rapper terbabit sudah menerima lebih sejuta tanda suka di Instagram. 

Macklemore atau nama sebenarnya Benjamin Hammond Haggerty juga berkata beliau akan mendermakan semua hasil penstriman daripada lagu baharu itu kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat setelah ia dimuat naik di platform penstriman. 

Untuk info, pelajar pro-Palestin di AS sedang giat menuntut universiti mereka menjauhkan diri daripada Tel Aviv ketika serangan dan kekejaman ke atas Gaza berlanjutan sejak Oktober lalu. 

 

Sumber: Instagram, Malaysia Kini & Media Corp

Destination: