Sah Bercerai Talak Satu, Adira Suhaimi Tak Tuntut Nafkah Kerana Tak Mahu Susahkan Datuk Red

HIBURAN
April 24, 2024 - 12:49 PM


Selepas sembilan tahun berumah tangga, ikatan perkahwinan antara penyanyi, Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Seri Adnan Abu akhirnya terlerai apabila pasangan itu bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 43, telah melafazkan cerai talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar selepas mahkamah membenarkan permohonan Adira selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. 

Mahkamah kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 33, menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Ditemui pihak media, Adira ditanya mengenai pendiriannya yang tidak menuntut sebarang nafkah idah dan mutaah. Menurutnya, dia enggan menambah beban atau masalah baharu kepada bekas suaminya itu.

"Saya tak nak susahkan dia lagi. Sekarang ini dia tengah 'down'. Doakan supaya dia dimurahkan rezeki," katanya.

Dalam masa sama, Adira memberitahu, dia bakal memfailkan hak jagaan anak walaupun mereka masih tidak mengetahui mengenai perceraian itu.

"Buat masa sekarang saya tidak halang untuk Datuk Red melawat atau nak bermalam dengan anak-anak. Kami bersetuju dan bersepakat dengan keputusan ini," katanya. 

Untuk rekod, Adira memfailkan penceraian buat kali kedua dengan suaminya pada 25 Oktober tahun lalu selepas selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019. Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia dua tahun. 

 

Sumber: Kosmo & Harian Metro

Destination: