"Saya Minta Maaf Sebab Jawapan Mengelirukan" - Ustaz Don Minta Maaf Isu Puasa Pada Aidiladha

HIBURAN
June 19, 2024 - 05:32 PM


Nama pendakwah selebriti, Ustaz Don Daniyal sekali lagi mendapat kecaman orang ramai apabila memberi jawapan mengelirukan berhubung ibadah berpuasa semasa Adiladha. 

Ustaz Don atau nama sebenarnya Don Daniyal Don Biyajid, 40, dalam satu perkongsian di sebuah stesen radio memaklumkan salah satu waktu yang tidak boleh berpuasa ialah pada hari raya pertama sama ada pada hari raya Aidilfitri atau Aidiladha. 

Manakala, menurutnya, hari raya kedua, ketiga dan keempat dibolehkan untuk berpuasa. Jawapan tersebut mendapat kritikan orang ramai kerana umat Islam tidak boleh berpuasa pada hari Tasyrik yang merujuk kepada hari ke-11, 12 dan 13 bulan Zulhijjah dimana ia adalah hari raya kedua, ketiga dan keempat. 

Menyedari kesilapannya, Ustaz Don turut tampil membuat permohonan maaf di media sosialnya. 

"Assalamualaikum WBT kepada semua. Saya minta maaflah sebab menjawab dalam keadaan mengelirukan. Saya minta maaf kepada semua.

"Minta maaf banyak-banyak, semoga Allah Taala mengampunkan dosa kita semua. Minta maaf semua.  

"Okey jawapan yang betul pada Hari Raya Aidiladha tak boleh puasa dan pada Hari Tasyrik juga, termasuk sekali Hari Raya Kedua, ketiga dan keempat iaitu pada hari 11,12 dan 13 (Zulhijjah). Okey," katanya. 

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu hantaran turut memaklumkan adalah haram berpuasa pada hari-hari Tasyrik pada 11,12 dan 13 Zulhijjah bersamaan 18,19 dan 20 Jun 2024.  

 

Sumber: Instagram & X

Destination: