"Saya Mohon Maaf Atas Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI)" - Pengasas Majalah Gila-Gila

HIBURAN
July 23, 2024 - 11:24 AM


Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk hasilkan sesuatu ilustrasi atau karya seni bukanlah benda baharu untuk zaman ini. Malah, ia sudah menjadi norma yang baharu dek kerana kecanggihan tekonologi masa kini. 

Antara yang menggunakan teknologi tersebut adalah majalah tempatan terkenal berjudul Gila-Gila yang mengambil langkah menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada kulit hadapannya.

Namun begitu, tindakan tersebut telah mendapat kritikan dari orang ramai terutama peminat majalah berkenaan.  

Seorang peminat telah meluahkan rasa kesalnya di Facebook apabila majalah kegemarannya, Gila-Gila menggunakan AI untuk menghasilkan muka hadapan edisi terbaru majalah itu.  

"Majalah ini merupakan komik yang terkenal di Malaysia sejak sekian lamanya. Tetapi ia mula menerima imej yang dijana AI dengan menampilkan AI techbros atau prompters di dalamnya," tulisnya.

Hal tersebut sekali gus telah menarik perhatian pengasas dan penerbit majalah popular berkenaan, Jaafar Taib yang kemudiannya memohon maaf menerusi akaun Facebooknya. 

"Saya sebagai pengasas dan penerbit majalah Gila-Gila, dengan rasa penuh sesal ingin memohon maaf yang sebesar-besarnya atas penggunaan karya seni yang dihasilkan oleh AI.

"Saya ingin tegaskan, penggunaan karya AI tersebut bukanlah bertujuan untuk merendah-rendahkan bakat dan hasil kerja keras para pelukis kita.

"Namun, saya faham, niat yang baik tidak semestinya menghasilkan keputusan yang baik. Kesilapan ini telah membuka mata saya tentang betapa pentingnya kita menghargai dan melindungi karya seni yang dihasilkan oleh tangan-tangan kreatif anak bangsa," katanya dalam hantaran di Facebook. 

Individu yang berusia 71 tahun itu juga mengakui bahawa beliau kurang arif tentang teknologi AI dan implikasinya terhadap dunia seni. 

Beliau juga mengambil kesempatan itu untuk sentiasa memperbaiki karyanya demi kebaikan dan kesejahteraan bersama. 

Sebagai info, majalah Gila-Gila pertama kali diterbitkan pada 1 April 1971 dan menjadi antara majalah popular sepanjang dekad. 

 

Sumber: Facebook

Destination: