SFMM38: Rocketfuel Pilih Nadeera Sebagai Penyanyi Ganti, Ernie Zakri Nafi Tarik Diri
HIBURANSyarikat rakaman tempatan, Rocketfuel Entertainment akhirnya menjawab spekulasi ramai berhubung ketiadaan penyanyi asal lagu ‘Astana’, Ernie Zakri di separuh akhir Muzik Muzik 38.
Menurut satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram, Rocketfuel Entertainment menjelaskan bahawa pihak pengurusan Ernie yang tidak mahu terlibat dalam menyanyikan lagu 'Astana' di pentas SFMM38.
"Lagu 'Astana' dicalonkan untuk program Muzik Muzik pada bulan Februari 2023 dan ketika itu, Ernie masih lagi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment. Rocketfuel juga menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan Ernie untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38."
"Untuk menghormati acara berprestij seperti SFMM38, pihak Rocketfuel Entertainment memilih penyanyi Nadeera yang juga juara program Big Stage untuk menggantikan dan menyanyikan lagu ‘Astana’."
"Pihak Rocketfuel Entertainment yakin dan pasti dengan pemilihan ini kerana Nadeera merupakan calon yang amat sesuai untuk membawakan lagu ‘Astana’ dan memastikan lagu ini dinyanyikan dengan seadilnya", ujar mereka.
Dalam pada itu, Ernie yang merupakan penyanyi dan pencipta lagu 'Astana' telah mengeluarkan satu kenyataan dimana dia telah menafikan dakwaan bahawa dia menarik diri daripada membawakan lagu itu di Semi Final Muzik Muzik ke-38 (SFMM38) yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
Bagaimanapun beberapa terma dan syarat pencalonan lagu dalam program itu telah menjadi penghalang untuknya membawa lagu tersebut di SFMM38.
@secretlover.ez Kenyataan Rasmi @erniezakri23 ! #fypシ #erniezakri #astana #sfmm38 #ernienators #universalmusicmalaysia #justiceforerniezakri ♬ original sound - Ernie Grande Bruno Mel👀
"Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri.
"Namun disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia) dan MPB (Media Prima Berhad), ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada SFMM38," katanya dalam satu kenyataan
Sementara itu, RIM dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dalam kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program yang disiarkan di TV3 itu.
Pengerusinya, Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.
“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.
"Bagaimanapun sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan," katanya.
Sumber: Oh Bulan & Sinar Harian