Shuk Sahar Buka Cerita Punca Dia Dibuang Kerja Oleh Sebuah Stesen Radio

HIBURAN
January 23, 2024 - 03:31 PM


Semenjak isu yang membabitkan penyampai radio, Tyzo viral, ramai pihak melontarkan pendapat masing-masing berkenaan dengan dunia radio. Bermula dari isu gaji sehingga isu kontrak, topik mengenai stesen radio masih hangat diperkatakan.

Sebuah podcast dimana pelawak, Shuk Sahar yang dijemput sebagai tetamu juga membahaskan isu berkenaan dengan stesen radio. 

Menerusi sebuah video di X, pada awalnya Shuk bersama beberapa orang panel membincangkan isu tentang Tyzo dan Suria FM. Menurut mereka, sejak Tyzo ‘dibuang’ daripada Suria FM, mereka mendakwa bahawa banyak stesen radio terkemuka ‘berebut-rebut’ mahukan Tyzo.

Salah seorang panel berkata bahawa jika dia adalah orang atasan Era FM, pasti Tyzo akan diambil bekerja. Perbincangan yang melibatkan Era FM itu disambung dengan kenyataan Shuk yang menjelaskan bahawa dia juga pernah dibuang kerja oleh stesen terbabit sewaktu berkhidmat sebagai penyampai di stesen tersebut.

Menurut Shuk, dia pernah menjadi penyampai Era FM untuk slot hujung minggu dan dibuang kerja pada Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana, dia telah mengingkari arahan yang melarangnya untuk on air secara rakaman.

Shuk menjelaskan bahawa memandangkan pada waktu itu Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari hujung minggu, dia telah membuat rakaman pada malam raya untuk disiarkan pada waktu yang telah ditetapkan.

Namun, ketika Shuk sudah hampir sampai ke kampung halamannya di Penang, dia mendapat panggilan dari pengurusnya untuk membuat pembetulan susunan lagu. Rahsianya terbongkar menyebabkan dia terpaksa berterus terang dan kemudiannya dimarahi oleh pengurus sebelum diberhentikan kerja.

Video tersebut mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya memberi komen bahawa pelawak tersebut bermasalah disamping mengatakan bahawa dia tidak amanah ketika bertugas.

 

Sumber: X & Lobak Merah

Destination: