Terkait Dengan Isu Hadis Palsu, RTM 'Rehatkan' Ustaz Don Dari Program Salam Baitullah

HIBURAN
June 06, 2024 - 11:11 AM


Nama pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sering diperkatakan kebelakangan ini susulan berkongsi salah satu kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang didakwa bersandar pada cerita dan hadis palsu. 

Perkongsian yang dibuat oleh Ustaz Don telah menimbulkan pertikaian beberapa pihak sehingga menyebabkan pendakwah tersebut 'direhatkan' dari bersiaran di salah satu program Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Hal tersebut disahkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman di laman X yang menyatakan pendakwah popular tersebut direhatkan daripada mengendalikan program Salam Baitullah terbitan RTM. 

Suhaimi berkata, keputusan itu diambil bagi meredakan ketegangan dalam platform media sosial membabitkan Ustaz Don selain mengelak pertelagahan netizen berpanjangan.

"Untuk meredakan keadaan, kita rehatkan Ustaz Don buat sementara waktu. Kita kena bersikap adil. Kalau kita dapati dia tidak bersalah, kita tiada masalah untuk kembali bekerjasama. 

"Jadi, buat masa ini, kita hanya mahu redakan keadaan... Itu paling penting," katanya

Dalam dakwaan dibuat semasa bersiaran di sebuah stesen radio, Don Daniyal mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani yang dikatakan cinta pertama Rasulullah sebanyak tiga kali.

Meskipun mendapat teguran beberapa tokoh agamawan, pendakwah terbabit bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.

Semalam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai isu terbabit dan kenyataan mengenai Ummu Hani sebagai cinta pertama Nabi Muhammad SAW turut diragui. 

Justeru, orang ramai tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda.

Perkara itu mesti didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian, lebih-lebih lagi perkara yang membabitkan soal hati dan perasaan seseorang. 

Untuk rekod, Salam Baitullah adalah sebuah rancangan RTM yang bersiaran pada musim haji bermula 2 Jun sehingga 17 Jun.

 

Sumber: X & Berita Harian

Destination: