5 Resort Yang Jadi Pencetus Viral Tahun 2020 Di Rileklah!

December 29, 2020 - 05:13 PM


Meskipun tahun 2020 ini mungkin adalah tahun di mana kita semua paling banyak menghabiskan masa di rumah berbanding bercuti ke hotel atau resort-resort peranginan di seluruh negara, namun ia sedikit pun tidak menggugat populariti lokasi penginapan yang unik dan istimewa untuk dikongsikan di laman web Rileklah.

Buktinya, lebih ramai followers kami yang memilih untuk sama-sama berkongsi posting mengenai hotel dan resort yang kami paparkan dengan ahli keluarga serta rakan-rakan sebagai idea untuk musim percutian masing-masing sebaik sahaja peraturan rentas negeri dibenarkan oleh Kerajaan.

Sehinggakan, ada pengusaha resort yang tempatnya menjadi hit dan sangat viral di kalangan pengguna media sosial terpaksa menghubungi kami di Rileklah untuk memohon agar posting mengenai tempat penginapannya diturunkan memandangkan mendapat perhatian yang diluar jangka.

Jom kita tengok hotel atau resort mana yang paling tinggi mendapat shares dan likes daripada followers Rileklah sepanjang tahun 2020 ini.

1 - A'Moss Farmstay, Cameron Highlands = 38K shares & 11K likes

Meskipun posting mengenai penginapan menarik yang berkonsepkan khemah berbentuk "Dome" di Cameron Highlands ini diterbitkan seawal bulan Februari iaitu sebelum penularan pandemik COVID-19 menjadi semakin meruncing -- namun artikel mengenainya mencapai sambutan hebat yang begitu luar biasa!

Walaupun sebenarnya Dome yang ada di lokasi percutian tanah tinggi popular itu hanya mempunyai 3 buah khemah sahaja, tetapi ia telah meraih perhatian pembaca di Rileklah sehingga dikongsi sebanyak lebih 38,000 kali, mendapat 11,000 likes dan 25,000 komen. Gempak, kan!!!

2 - Nusakuya, Semporna, Sabah = 2K shares & 272 likes

Menduduk tempat kedua sebagai hotel atau resort yang paling popular di Rileklah adalah sebuah resort terapung di tengah-tengah laut di Semporna, Sabah ini.

Selain kemudahan dan pemandangan bilik yang menakjubkan, antara faktor yang menyebabkan ramai tertarik hati untuk bercuti ke resort ini adalah disebabkan setiap biliknya dilengkapi balkoni dan tangga untuk korang masuk terus ke dalam laut.

Sebab itu tak hairanlah jika posting mengenai Nusakuya ini walaupun baru sahaja diterbitkan pada bulan November lalu -- tetap mendapat perhatian yang tertinggi sehingga telah dikongsikan sebanyak 2,000 kali dan mendapat 272 likes.

3 - The Rubber Escape, Alor Gajah, Melaka = 1.1K shares & 251 likes

Ini satu lagi resort berkonsepkan unik dan kreatif iaitu di tengah-tengah ladang getah yang mendapat perhatian tidak kurang hebatnya daripada kalangan pembaca di Rileklah.

Keindahan resort yang memiliki kolam renang infiniti ini sememangnya mencuri hati ramai pembaca untuk dikongsikan kepada ahli keluarga dan rakan sebagai idea percutian ideal mereka setelah lama berkurung di dalam rumah sepanjang tempoh PKP.

Sehingga kini posting mengenai The Rubber Escape ini telah dikongsikan sebanyak 1,100 kali dan mendapat 251 tanda likes.

4 - D'Bukit Homestay, Pedas, Negeri Sembilan = 1K shares & 467 likes

Tidak dinafikan untuk idea staycation Cuti-Cuti Malaysia, ramai antara kita yang lebih suka memilih konsep penginapan yang dekat dengan alam semulajadi atau 'back to nature'!

Justeru, tak hairanlah kalau homestay di Pedas, Negeri Sembilan ini yang terletak di dalam hutan telah mendapat perhatian yang sangat memberangsangkan daripada pembaca Rileklah.

Penginapan ala-ala rumah kampung tetapi lengkap dengan kemudahan yang selesa serta memiliki kolam renang yang airnya mengalir dari air bukit, sememangnya idea terbaik bagi membawa keluarga dan anak-anak bercuti ke sini.

Untuk rekod, posting tentang D'Bukit Homestay ini telah mendapat 1,000 shares dan 467 likes.

5 - Sea Horizon Glamping, Kuala Sedili Besar, Kota Tinggi, Johor = 324 shares & 398 likes

Ini satu lagi konsep penginapan dome ala-ala glamping yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Ia juga sebenarnya merupakan "Glamping Tebing Laut Yang Pertama Di Malaysia"!

Sea Horizon Glamping ini menawarkan hanya 2 unit penginapan berbentuk Dome yang dilengkapi pelbagai kemudahan persis seperti hotel 5 bintang.

Kedua-dua dome berkenaan juga dibina menghadap keindahan pemandangan Laut China Selatan serta mempunyai ruang makan peribadi sendiri.

Glamping yang sememangnya cantik untuk bergambar seperti di luar negara ini telah mendapat 324 shares dan 398 likes.

 

 

Destination: