Hotel Bawah Air Pertama Australia Dibuka Di Great Barrier Reef

December 02, 2019 - 10:56 AM


Sistem terumbu karang terbesar di dunia, Great Barrier Reef mempunyai lebih daripada 2900 terumbu karang dan terletak di Coral Sea, Queensland, Australia dan mendapat status sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 1981.

Sering menerima kunjungan pelancong terutamanya untuk aktiviti snorkelling atau diving, kini pengunjung boleh menikmati pemandangan cantik terumbu karang dari dalam bilik hotel!

Reefsuites; hotel bawah air pertama Australia telah dibuka kepada orang ramai di Hardy Reef, sebuah pontoon yang telah dibina semula. Hanya menawarkan dua buah bilik, tetamu boleh menyaksikan kehidupan marin sekitar kawasan terumbu karang terbesar di dunia itu pada waktu malam.

Selain bilik di bawah air, tetamu juga boleh memilih pengalaman yang lebih ‘murah’ dengan Glamping di dek atas.

Walaupun dibina di kawasan terumbu karang yang diwartakan oleh UNESCO, pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan ia tidak mendatangkan kesan atau kerosakan kepada terumbu – terumbu yang ada di kawasan tersebut.

Reefsuites ditawarkan pada harga 799 USD (RM3,338) untuk bilik perkongsian atau 1199 USD (RM5000) untuk bilik perseorangan. Untuk Glamping atau sewaan dek atas, USD 595 atau RM2485.

Destination: