Hotel Mesra Muslim Terbaik Di Dunia, Salah Satunya Siap Ada Pantai Persendirian Untuk Wanita

March 09, 2020 - 11:31 AM


Sebagai seorang pelancong beragama Islam, kita mungkin sering berdepan dengan beberapa cabaran ketika bercuti ke luar negara terutama dari segi pencarian makanan halal.

Namun sekarang sudah banyak hotel dan tempat penginapan yang mula peka dan memenuhi segala kriteria dan budaya khusus untuk pelancong Muslimnya.

Berikut merupakan 6 hotel yang mesra Islam terbaik di dunia, dengan salah satunya turut menyediakan pantai peribadi khas buat wanita.

1. HOTEL BARRIERE LE FOUQUET'S, PARIS

Terletak di antara Champs-Elysées dan George V Avenues, hotel bertaraf 5 bintang ini mempunyai spa dengan kolam renang dan sauna. Ia menawarkan makanan halal apabila mendapat permintaan khas daripada tetamunya terutama yang beragama Islam. Mereka turut menyediakan pelbagai perkhidmatan tertentu yang mesra Muslim semata-mata demi memastikan para tetamu dari seluruh dunia mendapat layanan kelas pertama daripada hotel ini.

Kemudahan Mesra Islam:  

• Makanan halal apabila diminta.  

• Al-Quran disediakan atas permintaan.  

• Sejadah disediakan atas permintaan.  

• Bar mini tanpa alkohol atas permintaan.

 

2. HOTEL THE DORCHESTER, LONDON 

Hotel eksklusif yang menghadap Hyde Park dan terletak di Mayfair, sebuah kawasan berpestij di London ini antara hotel mesra Muslim terbaik di dunia. Selain terkenal dengan hiasan landskap teres dan tearooms yang terkenal di kalangan tetamu, Dorchester turut menawarkan restoran halal yang dipanggil China Tang. 

Kemudahan Mesra Islam:
 • Makanan halal di restoran China Tang.
 • Kemudahan spa hanya wanita.
 • Arah kiblat yang ditunjukkan di dalam bilik.
 • Bar mini tanpa alkohol atas permintaan.


3. HOTEL ANGEL'S MARMARIS, TURKI

Istimewanya jika anda menginap di Hotel Angel's Marmaris ini, anda boleh bersantai di pantai yang hanya disediakan khas buat golongan wanita, ibu dan anak-anak. Jadi anda bebas untuk bergaul mesra dengan pengunjung lainnya tanpa perlu risau tentang batasan aurat yang perlu dijaga. Pantai sejauh 2.5 kilometer itu juga dihiasi dengan hutan pokok pain yang menawarkan privasi untuk anda berjalan-jalan di sekitarnya.

Kemudahan Mesra Islam:  

• Pilihan makanan halal.

• Kolam renang berasingan untuk wanita dan lelaki.  

• Pantai persendirian untuk golongan wanita.  

 

4. HOTEL VILA BUTIK ELYSIAN, BALI

Elysian menawarkan banyak kemudahan serta fasiliti yang bukan sahaja mewah tetapi juga mesra Muslim kepada para tetamunya terutama dari segi pelbagai hidangan halal dan lazat, kolam renang persendirian serta masjid yang banyak di sekitarnya untuk solat.

Kemudahan Mesra Islam:

• Pilihan hidangan halal.

• Vila tanpa alkohol.

• Kolam renang persendirian.

• Masjid berdekatan.

 

5. HOTEL NOUVO CITY, BANGKOK

Jika anda bercuti ke Bangkok dan inginkan pengalaman percutian terbaik yang sukar dilupakan, anda boleh menginap di Hotel Nouvo City yang terkenal dengan pelbagai kemudahan untuk pelancong Muslim. Ketika bulan Ramadan, hotel ini juga turut menyediakan hidangan untuk bersahur dan berbuka buat tetamunya.

Kemudahan Mesra Islam:

• Halal yang disahkan oleh Majlis Islam Pusat Thailand.

• Makanan dan restoran halal.

• Hidangan Bufet Berbuka Puasa & Bersahur di bulan Ramadan.

• Tiada hiburan berbentuk dewasa, disko atau perjudian di hotel.

 

6. HOTEL JUMEIRAH DI ETIHAD TOWERS, ABU DHABI

Menghadap ke Teluk Arab dan Corniche, hotel moden ini adalah sebahagian daripada kompleks menara ikonik di Abu Dhabi. Jika menginap di sini, anda boleh memilih sama ada ingin menghabiskan masa berjalan di sepanjang pantai peribadi atau memanjakan diri di spa terbaik di Timur Tengah yang dimiliki hotel ini.

Kemudahan Mesra Islam:

• Hidangan citarasa gourmet halal

• Suite spa peribadi.

• Masjid berdekatan.

• Pantai persendirian.