Korang Suka Pilih Hotel Yang Mesra Muslim? 'Hotel Zamburger' Bakal Jadi Rangkaian Hotel Patuh Syariah Terbesar Di Malaysia!

October 22, 2020 - 05:47 PM


Sewaktu bercuti, mungkin ramai yang lebih gemar memilih sebuah tempat penginapan atau hotel yang berstatus patuh syariah atau berkonsepkan mesra-muslim.

Jika anda merupakan golongan yang mementingkan aspek berkenaan, anda boleh memilih rangkaian hotel di bawah jenama 'Hotel Zamburger' yang setakat ini telah memiliki 30 buah hotel di hampir seluruh negeri di Malaysia termasuk resort di Langkawi.

Pengasas Hotel Zamburger, Norizam Tukiman berkata syarikatnya komited untuk mewujudkan rangkaian hotel syariah terbesar di negara ini menerusi pengambilalihan serta pemilikan sebanyak 220 hotel butik lagi yang dilihat berpotensi.

Hotel Zamburger menyasarkan untuk mengambil alih sebanyak 75 lagi hotel dalam tempoh 6 bulan akan datang yang mana idea tersebut muncul selepas beliau prihatin dengan kesan pandemik COVID-19 terhadap industri perhotelan yang dilihat terjejas hingga terpaksa membuang ramai pekerja.

Oleh itu, Hotel Zamburger bersedia memberi peluang kepada mana-mana hotel yang mempunyai masalah aliran tunai atau terpaksa memberhentikan pekerja untuk diambil alih oleh syarikat tersebut.

"Pemilik hotel akan diberi jaminan keuntungan bulanan dalam bentuk sewaan pajakan tanpa perlu memikirkan operasi memenatkan dan ditambah dengan masalah kekurangan pelancong ketika ini," katanya.

Menurutnya, objektif utama Hotel Zamburger meluaskan rangkaiannya adalah untuk transformasi hotel terbabit kepada patuh syariah serta menampilkan imej hotel bersih dan berkualiti setanding hotel bertaraf empat bintang.

Norizam yang juga pemilik pasukan The Red Warriors itu berkata, menjelang Disember depan, pihaknya akan memperkenalkan platform tempahan dalam talian sendiri untuk memudahkan pelanggan.

Bagi perancangan masa hadapan, beliau bercadang untuk menyenaraikan Hotel Zamburger di pasaran saham.

Sumber: Harian Metro

 

 

 
Destination: