Satu-Satunya Hotel 5 Bintang Di Sandakan, Four Points By Sheraton 'Gulung Tikar'

June 02, 2020 - 01:17 PM


Tidak dinafikan sektor pelancongan dan perhotelan antara bidang yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19 kerana sekatan kemasukan pelancong tempatan dan luar negara.

Terbaharu, satu-satunya hotel bertaraf lima bintang di Sandakan, Sabah iaitu Four Points by Sheraton telah menutup operasinya secara rasmi pada 31 Mei lalu.

Hotel tersebut sudah beroperasi sejak lebih tujuh tahun lalu.

Pada hari terakhirnya semalam, hotel tersebut dilihat menghantar mesej bertulis 'Thanks All' (terima kasih semua) melalui susunan lampu bilik di bangunannya.

Netizen turut berkongsi kenangan mereka tinggal di hotel tersebut menerusi posting di media sosial, dengan berkongsi foto bilik dan pemandangan dari bilik ketika menginap di hotel tersebut.

Four Points by Sheraton juga merupakan hotel kedua terbesar di Sabah dengan bangunan setinggi 27 tingkat dan mempunyai 299 buah bilik.

Bangunan hotel yang berhubung dengan pusat membeli belah ini adalah bangunan tertinggi di Sandakan dibina gah menghadap Laut Sulu dan sering menjadi pilihan tetamu kenamaan dan pelancong untuk menginap jika berkunjung ke Pantai Timur Sabah itu.

Sejak tiga bulan kebelakangan ini, beberapa buah hotel di seluruh negara terpaksa menamatkan operasi mereka kerana kekangan kewangan yang semakin meruncing berikutan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Sumber: THE STAR

Destination: