Projek Kereta Kabel Ke Gua Hira Arab Saudi Dijangka Beroperasi Pada Tahun 2025
ISLAMIKBuat mereka yang mengerjakan ibadah haji atau umrah di Mekah, tidak lengkaplah perjalanan anda kalau tidak mengunjungi gua penuh bersejarah ini.
Disebabkan gua ini terletak di kawasan tinggi, jalan curam dan kawasan yang terlalu sesak, ramai jemaah mengambil keputusan untuk tidak berkunjung ke lokasi tersebut.
Dijangka mula beroperasi pada tahun 2025, kerajaan Arab Saudi telah mengumumkan projek sistem kereta kabel ke Gua Hira untuk memudahkan jemaah mengunjungi gua ini dengan lebih senang.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Samaya Investment Company, Fawaz Al-Muhrej yang memaklumkan projek berada di fasa akhir persiapan.
Memetik Arabian Business, projek berkenaan bertujuan memudahkan dan meningkatkan akses ke Gua Hira di Jabal Nur. Untuk info, gunung setinggi 634 meter tersebut terletak kira-kira empat kilometer (km) dari Masjid al-Haram, Mekah.
Projek ini adalah sebahagian daripada rancangan pembangunan lebih luas oleh Arab Saudi termasuk pembukaan tiga muzium baharu di Jabal Omar, yang dijadualkan pada tahun sama dan penyiapan Daerah Budaya Hira yang dibuka tahun lalu (2023).
Daerah budaya yang terletak berdekatan dengan Jabal Nur itu terdiri daripada keluasan lebih 67,000 meter persegi.
Projek kereta kabel ini bukanlah inisiatif pertama dilakukan bagi memperbaiki akses dan kemudahan perjalanan jemaah haji dan umrah di Arab Saudi.
Gua Hira yang terletak di sebuah puncak bukit dikenali sebagai Jabal Nur merupakan tempat yang menjadi saksi Rasulullah SAW dilantik sebagai Nabi dan Rasul. Di situ jugalah Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama.