"Puasa Sunat Dihapuskan Dosa, Belanja Keluarga Diluaskan Rezeki" - Ustaz Wadi Annuar Kongsi Kebaikan Hari Asyura
ISLAMIKSebagai umat Islam, sudah menjadi kebiasaan untuk menghidupkan bulan Muharam dengan berpuasa sunat pada tarikh 10 Muharam (16 Julai 2024). Ini kerana, hari kesepuluh dalam bulan Muharam atau disebut sebagai hari Asyura merupakan hari yang dinanti-nantikan Rasulullah SAW.
Pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar menjelaskan, terdapat dua amalan sunat yang sangat besar ganjarannya pada hari tersebut.
Menurutnya, sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Ibnu Abbas ketika ditanya mengenai puasa pada hari Asyura, beliau menjawab: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW mengejar satu hari yang fadilatnya lebih berbanding pada hari-hari yang lain melainkan hari Asyura.
“Ketika hari Asyura datang, ada dua sunnah Nabi SAW yang sangat besar iaitu berpuasa sunat pada hari Asyura tersebut.
“Ganjarannya ialah diampunkan setahun seluruh dosa kecil yang telah lalu,” katanya.
Beliau merujuk kepada hadis Rasulullah SAW: “Dan berpuasa pada hari Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang sebelumnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
“Maksudnya Nabi SAW menunggu puasa Asyura. Maka ajaklah ahli-ahli keluarga untuk sama-sama berpuasa sunat.
“Saya rasa ramai dalam kalangan ahli keluarga yang belum pernah menganjurkan puasa sunat, beramai-ramai satu keluarga bangun untuk berpuasa sunat 10 Muharam,” katanya lagi.
Selain itu, Ustaz Wadi juga berkata umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada 9 Muharam iaitu Puasa Tasua’.
Menurutnya, makruh hukumnya jika seseorang umat Islam itu hanya berpuasa pada 10 Muharam sahaja kerana kita turut digalakkan berpuasa pada 9 atau 11 Muharam.
Amalan sunat yang kedua menurut beliau adalah umat Islam juga disunatkan untuk membelanjakan ahli keluarga pada 10 Muharam.
@rafidahbaco semoga bermanfaat #hariasyura #muharram #10muharram #ustazwadianuar #fyp ♬ bunyi asal - Meliza
“Banyak yang tidak tahu disunatkan di sisi empat mazhab untuk seseorang tawassu’ (berbelanja ke atas ahli keluarganya) pada Hari Asyura,” jelasnya.
Jelas Ustaz Wadi, amalan belanja ahli keluarga pada hari tersebut juga akan dimurahkan rezeki pada tahun tersebut.
Sumber: TikTok & Sinar Harian