Suka 'Troll' Guna Ayat Al-Quran? Ini Penjelasan Dari Mufti

ISLAMIK
July 25, 2024 - 04:49 PM


Bagi umat Islam, Al-Quran merupakan kitab yang diturun oleh Allah untuk dijadikan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan seharian. Ia juga mengandungi pelbagai penghayatan termasuk sirah nabi-nabi terdahulu. 

Ini bermakna, kalam Allah itu tidak boleh dibuat main atau dijadikan sebagai bahan hiburan. 

Walau bagaimanapun, masih terdapat individu yang melakukan "troll" di media sosial menggunakan ayat al-Quran seperti menulis ayat al-Quran menggunakan bahasa rumi atau inggeris. 

Di sosial media, terdapat individu yang menggunakan ayat Al-Quran dalam bahasa rumi atau inggeris sebagai nama Wi-fi. 

Dari sudut Islam, adakah perkara itu seperti mempersendakan kemuliaan Al-Quran dan apakah hukumnya?

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, mari kita telusuri perkongsian Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai perkara ini di bawah.  

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, apakah hukum seseorang melakukan troll di media sosial menggunakan ayat al-Quran seperti menulis ayat al-Quran menggunakan bahasa rumi atau inggeris dengan tujuan meraih perhatian awam? Mohon pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Hukum menggunakan ayat al-Quran sebagai suatu bentuk troll adalah berdosa kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap al-Quran walaupun dilakukan atas tujuan hiburan dan boleh jatuh hukum kufur jika jelas dengan tujuan menghina al-Quran. Mempamerkan adab dan akhlak yang baik tidak hanya terbatas di alam nyata bahkan aplikasinya perlu pada alam maya lantaran media sosial sudah menjadi platform terbesar dalam kehidupan manusia. 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Definisi troll menurut Cambridge Dictionary merujuk kepada tindakan seseorang yang sengaja meninggalkan mesej yang menjengkelkan atau menyinggung perasaan di ruangan internet. Ia bertujuan sama ada untuk mengganggu individu tertentu, meraih perhatian awam atau menimbulkan masalah.[1]

Perlakuan seperti ini bukanlah perkara baharu dalam dunia media massa bahkan ia telah menular dalam kalangan masyarakat. Menjadi satu kebimbangan apabila tabiat buruk ini dikaitkan dengan perkara-perkara agama sehingga sampai kepada tahap mempersendakan agama. 

Selain itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menjelaskan tentang larangan mempersendakan Al-Quran. 

Menurut mufti, para ulama telah bersepakat mengkafirkan golongan yang memperlekeh, meremeh dan menghina al-Quran dengan apa jua cara sekalipun dalam keadaan mereka mengetahui tentang pengharaman tersebut. Antara jenis penghinaan terhadap al-Quran adalah meremehkan kandungan al-Quran atau mana-mana bahagian daripadanya, meremehkan mushaf dengan meletakkan ia pada tempat yang kotor, mendustakan hukum-hakan dan perkhabaran, menafikan perkara yang disabitkan, mensabitkan perkara yang ternafi atau meragui mana-mana daripada al-Quran.

Selain itu, Ibn al-Arabi memperjelaskan lagi bahawa setiap perkataan yang mempersendakan al-Quran, sama ada dilakukan dengan tujuan bermain-main atau dalam keadaan bersungguh-sungguh maka hukumnya seseorang itu tetap menjadi kufur. Apatah lagi, bila mana gurauan itu berkait hal- hal kekufuran, maka ia tetap menjadi kafir tanpa perselisihan ulama.

Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perkataan dan perbuatan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan. Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith

 

Sumber: Mufti WP

Destination: